195 pendatang asing ditahan di Johor

195 pendatang asing ditahan di Johor

Mereka yang berumur lingkungan 19 hingga 69 tahun ditahan dalam Op Sapu dijalankan bermula 12 tengah malam, Jumaat.

Sebanyak 641 warga asing dan tempatan diperiksa termasuk pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ke Atas Pelarian (UNHCR) dalam operasi di Johor. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Jabatan Imigresen (JIM) Johor menahan 195 pendatang asing termasuk lima wanita dalam serbuan di dua penempatan haram di kawasan bekas tapak pembinaan Gelang Patah, semalam.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir, berkata semua mereka yang berumur lingkungan 19 hingga 69 tahun itu ditahan dalam Op Sapu dijalankan bermula 12 tengah malam, Jumaat.

Beliau berkata, sebanyak 641 warga asing dan tempatan diperiksa termasuk pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ke Atas Pelarian (UNHCR) dalam operasi berkenaan.

“Lokasi penempatan itu terletak jauh daripada laluan utama dan dikelilingi ladang kelapa sawit dengan terdapat 15 kontena bagi memudahkan mereka meloloskan diri daripada ditangkap, sejak April tahun lepas.

“Kita menahan 62 lelaki Myanmar, 55 lelaki Bangladesh, 28 lelaki India, 26 lelaki dan lima wanita Indonesia, 16 lelaki Pakistan, dua lelaki China serta seorang lelaki warga Timor Leste, kerana disyaki tidak mempunyai pas dan dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua mereka ditahan bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Baharuddin berkata, mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.