
Zulkapli, 58, yang dilantik memegang jawatan itu sejak Februari lalu, merupakan penerima darjah tertinggi negeri, iaitu Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran “Datuk Seri”.
Selain Zulkapli, dua lagi individu, iaitu bekas hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Abd Majid Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional (TNB), Baharin Din turut menerima DPPN yang membawa gelaran “Datuk Seri”.
Dalam pada itu, 27 individu dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran “Datuk Seri”, antaranya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Suhaily Mohd Zain, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merangkap Adun Bertam, Reezal Merican Naina Merican.
Turut menerima DGPN ialah bekas timbalan ketua menteri I Pulau Pinang, Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman; bekas setiausaha kerajaan Pulau Pinang, Mohd Sayuthi Bakar dan Pengerusi Penang Port Sdn Bhd, Syed Mohamad Syed Murtaza dan bekas exco, Chong Eng serta Phee Boon Poh.
Seramai 15 individu menerima anugerah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) dan 93 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran “Datuk”.
Antara penerima DMPN ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Prof Mohamed Azam Mohamed Adil dan bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Mohd Salleh Man.
Seramai 74 individu menerima Darjah Johan Negeri, Bintang Cemerlang Negeri (14), Pingat Kelakuan Terpuji (168), Pingat Jasa Kebaktian (298), Pingat Jasa Masyarakat (399) dan Pingat Bakti Setia (26).
Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Law Choo Kiang dalam sidang media berkata, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Pulau Pinang akan berlangsung di Dewan Sri Pinang selama empat hari bermula esok, Isnin, Selasa dan Rabu depan.
Beliau berkata ulang tahun Fuzi sepatutnya disambut secara rasmi pada 8 Julai lalu, namun ditangguhkan bagi memberi laluan kepada PRN.
Katanya, acara sambutan esok akan dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan Utama di Dataran Sri Pinang dengan 17 das tembakan meriam akan dilepaskan semasa istiadat berlangsung.