
Menjawab tuduhan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan sebenarnya telah menikmati majoriti selesa untuk memfokuskan kepada usaha memperbaiki ekonomi serta membantu rakyat.
“Saya menolak sama sekali tuduhan liar Hamzah Zainudin bahawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar diperlaku seperti didakwa,” katanya kepada FMT.
Terdahulu Hamzah mendakwa Iskandar didatangi seorang ahli perniagaan pada 26 Sept yang menjanjikan habuan wang dan kedudukan dalam beberapa syarikat serta mendesak beliau menyokong menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Selain itu pada 1 Okt, Iskandar bertemu seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan “diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah” sekiranya enggan menandatangani kenyataan menyokong kerajaan.
Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR mengingatkan tindakan PN ketika menjadi kerajaan yang pernah memaksa wakil rakyat menyokong mereka.
“Apa yang dahulu mereka buat sewaktu menjadi kerajaan (ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri), jangan ingat kerajaan sekarang buat benda yang sama.
“Kami pernah hilang ahli parlimen yang berpaling tadah sokong kerajaan Muhyiddin setelah diugut persis dakwaan Hamzah.
“Ahli parlimen itu keluar PKR dan jadi bebas sokong kerajaan Muhyiddin,” katanya.
Semalam, Iskandar mengisytiharkan menyokong kerajaan pimpinan Anwar setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
Sambil menegaskan tidak akan mengkhianati Bersatu, Iskandar berkata dia tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terus terbiar dan ketinggalkan semata-mata perbalahan naratif politik biarpun berdepan risiko tindakan disiplin.