MYAirline gantung operasi: Mesti ada pihak dipertanggungjawab, kata penganalisis

MYAirline gantung operasi: Mesti ada pihak dipertanggungjawab, kata penganalisis

Shukor Yusof berkata pengawal selia mesti menjelaskan mengapa syarikat penerbangan itu dibenarkan beroperasi.

Syarikat penerbangan tambang murah MYAirline menggantung operasinya serta-merta semalam kerana menghadapi ‘tekanan kewangan yang ketara’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis penerbangan berkata kerajaan mesti dipertanggungjawabkan atas penggantungan operasi serta-merta MYAirline semalam, yang menjejaskan lebih 5,000 penumpang.

Pengasas Endau Analytics, Shukor Yusof, berkata pihak pengawal selia mesti menjelaskan mengapa mereka membenarkan syarikat penerbangan itu beroperasi.

“Kerajaan mesti bertanggungjawab sepenuhnya memandangkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) merupakan agensi kerajaan (yang bertindak sebagai) pengawal selia.

“Mesti ada pihak yang dipertanggungjawabkan,” katanya kepada FMT.

Semalam, syarikat penerbangan tambang murah itu menggantung operasinya serta-merta kerana menghadapi “tekanan kewangan yang ketara”.

MYAirline dilaporkan berkata, pihaknya telah “meneroka semua jalan perkongsian berpotensi dan penjanaan modal” untuk menyelamatkan perniagaannya, namun kesuntukan masa.

Mavcom berkata, MYAirline perlu membayar balik semua pelanggan yang terjejas dan berhenti menerima tempahan sehingga diberitahu kelak.

Menurut pakar pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan, jika pihak yang bertanggungjawab terlepas pandang tanda-tanda bahawa MYAirline tidak mampan, maka persoalan perlu dibangkitkan.

“Walaupun tiada proses pengawalseliaan boleh menjamin kejayaan mana-mana syarikat penerbangan, penting untuk memastikan usaha wajar benar-benar dilakukan dengan teliti dan semua potensi risiko dinilai secukupnya,” kata Wan Agyl, rakan kongsi pengurusan dalam firma perundingan pengangkutan Agyl & Partners.

Katanya, situasi dihadapi MYAirline menunjukkan perlunya pemantauan berkala dijalankan, dengan pihak berkuasa menilai kesihatan kewangan dan operasi syarikat penerbangan untuk mengenal pasti masalah sebelum ia menjadi teruk.

Menurutnya, kerajaan mesti mewujudkan protokol keluar yang jelas, termasuk garis panduan untuk syarikat penerbangan menghentikan operasi, bagi meminimumkan gangguan kepada penumpang dan rantaian bekalan yang terlibat.

Shukor sebaliknya berkata, kerajaan mesti mengambil pendekatan “laissez-faire” dalam mengawal selia pasaran penerbangan, namun perlu lebih tegas “mengawal selia pengawal selia”.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, menyelar keputusan MYAirline menggantung operasinya secara tiba-tiba, menyifatkannya sebagai tindakan “tidak bertanggungjawab”.

Katanya, kementeriannya dan Mavcom terkejut dengan keputusan syarikat itu kerana mereka tidak menerima sebarang notis awal.

Ini kali pertama sebuah syarikat penerbangan tempatan menggantung operasinya secara terburu-buru, katanya, dan beliau bimbang perkara ini menjejaskan imej negara, terutama di mata pelancong asing.

Wan Agyl berkata, selagi badan kawal selia menangani situasi ini secara telus dan mengambil langkah untuk mencegah isu serupa pada masa akan datang, impaknya pada keyakinan keseluruhan terhadap sektor penerbangan Malaysia boleh dikurangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.