Kerajaan setuju naikkan harga lantai belian padi

Kerajaan setuju naikkan harga lantai belian padi

Sebelum ini pesawah di Kedah meminta kerajaan menilai semula harga lantai belian padi oleh pengilang.

Kerajaan menetapkan harga lantai RM1,200 sejak 2014.
PETALING JAYA:
Pentadbiran Anwar Ibrahim bersetuju untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan, demi membantu pendapatan pesawah.

Perdana menteri melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan menetapkan harga lantai RM1,200 sejak 2014.

“Saya mendengar rungutan pesawah padi apabila harga belian oleh pengilang telah diturunkan kepada tahap minimum RM1,200 per metrik tan sedangkan sebelum ini harga belian oleh pengilang jauh lebih tinggi,” katanya dalam teks ucapan Belanjawan 2024.

Sebelum ini, pesawah di Kedah meminta kerajaan menilai semula harga lantai belian padi oleh pengilang, yang disifatkan terlalu rendah.

Pesawah memberitahu Bernama bahawa mereka terpaksa menanggung kos yang tinggi tetapi hasil sedikit berbanding usaha dan masa, semasa harga input pertanian sedang naik dan kos operasi meningkat.

Dalam pada itu, Anwar mengumumkan pentadbirannya bersetuju untuk meningkatkan peruntukan subsidi padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta.

“Ini antara lain akan dapat meluaskan kawasan penanaman padi bukit daripada 43 ribu hektar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.