
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawangnya, kedutaan itu berkata, penunjuk perasaan dijangka berkumpul di bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak sebelum berarak ke kedutaan.
Justeru, pihak kedutaan mengambil “langkah awal” menutup pintu masuk utamanya dan akan membukanya semula selepas demonstrasi berkenaan selesai.
Warga AS di kawasan sekitar turut dinasihatkan supaya berhati-hati.
Kedutaan itu juga berkata, “tiada penunjuk pada masa ini” bahawa demonstrasi tersebut akan menjadi tidak aman, tetapi mengingatkan bahawa keadaan boleh berubah dengan cepat secara tiba-tiba.
Kedutaan AS tidak memberikan butiran lain mengenai demonstrasi yang dirancang itu, namun satu perhimpunan solidariti bersama perjuangan Palestin dijangka berlangsung di depan Kedutaan Palestin, yang terletak di Jalan Pegawai, Taman U Thant, selepas solat Jumaat.
Perhimpunan berasingan oleh Perikatan Nasional (PN) juga akan diadakan di depan Masjid Negara pada 2 petang.
Konflik antara Israel dan Hamas tercetus baru-baru ini berikutan serangan mengejut oleh kumpulan militan Israel yang menjurus kepada Tel Aviv membedil Semenanjung Gaza dengan 6,000 bom.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 1,537 orang, termasuk 447 kanak-kanak, terbunuh di Gaza akibat serangan balas Israel, manakala lebih 6,000 cedera.