
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kedua-dua kilang terbabit diserbu semalam dan hari ini.
Beliau berkata, SPRM bukan hanya menyiasat aktiviti sorok beras tetapi juga penyelewengan pemberian subsidi dan sama ada pihak lain bersekongkol dengan kilang beras untuk melakukan kesalahan.
“Berhubung subsidi, disyaki pengeluaran (dan pengagihan beras) tidak sama dengan subsidi yang diberikan kerajaan.
“Saya tidak nafikan lebih banyak kilang akan diperiksa SPRM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis di sebuah hotel di sini hari ini.
Pada Isnin, SPRM membongkar kegiatan penipuan yang dilakukan oleh sebuah syarikat pembekal beras di Kedah, yang dikatakan telah mengganggu pengedaran dan penjualan beras putih tempatan.
Menurut sumber, syarikat itu memperoleh kontrak daripada syarikat pertanian milik kerajaan bernilai lebih RM100 juta setahun untuk membekalkan beras di Semenanjung Malaysia.