
Beliau berkata mana-mana Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang tidak sepatutnya membabitkan “speaker” dalam pertikaman lidah antara dua pihak.
“Saya cukup terasa, hari ini saya cukup terasa… situasi itu memberi kesan mendalam kepada saya,” katanya ketika memulakan sesi petang Dewan Rakyat.
Terdahulu, Awang dari PAS diarah keluar dewan selepas mengeluarkan kenyataan “anak papa”, dipercayai merujuk kepada Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang juga anak kepada Johari.
Beliau mengeluarkan jolokan itu ketika persidangan berjalan tegang apabila Shahidan Kassim (PN-Arau) mendakwa usul dihantar beliau pada Selasa tidak mendapat maklum balas Pejabat Speaker tetapi usul mengenai beras yang dihantar Taufiq semalam diluluskan untuk dibahaskan hari ini.
“Apa yang Arau bangkitkan saya tidak berlaku adil tidak memberi dia peluang untuk berucap, salah. Jadi saya menerima cacian cukup banyak dari media yang saya tak berlaku adil kepada Arau dan seolah-olah saya memberikan laluan kepada Sungai Petani dan lebih teruk Pendang kata anak bapa.
“Jadi saya harap, tolonglah. Kalau anda nak bermain antara kamu, jangan babitkan speaker. Bila anda babitkan speaker, susah jadinya,” tegurnya.
Johari menegaskan semua pihak perlu menghormati pelantikannya sebagai speaker yang mengikut perlembagaan dan dipilih oleh Ahli Parlimen.
“Ahli Parlimen yang telah memilih saya, jika anda tak suka saya, buat usul. Keluarkan saya. Tetapi selagi saya berada di sini, bila ada peraturan mesyuarat, dengarlah.”
Dalam penjelasan kepada usul yang dibawa Shahidan, Johari berkata usul dibangkitkan bukan isu mendesak yang memerlukan perhatian segera dewan.
“Isu yang Arau bawa bukan isu padi, usul yang Arau bawa adalah usul penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai kanan penjawat awam dalam kempen politik dan kedua isu kekurangan tenaga kerja tempatan dalam bidang kejururawatan dan sektor gunting rambut.
“Jadi tak sangkut paut dengan isu padi yang disorok,” jelasnya.