Pecah amanah RM8 juta, lelaki diberkas selepas 6 minggu diburu

Pecah amanah RM8 juta, lelaki diberkas selepas 6 minggu diburu

Suspek ditahan di Alor Setar semalam dan kini direman hingga Isnin bagi membantu siasatan.

Polis berkata penahanan dibuat susulan laporan diterima daripada pelabur warga asing mendakwa kerugian hampir RM8 juta selepas diperdaya rakan niaganya di negara ini 26 Ogos lalu.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki direman lima hari hingga Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah dan pemalsuan dokumen membabitkan kerugian hampir RM8 juta sejak 2018.

Suspek dipercayai bekerja sebagai nelayan yang berusia 47 tahun itu ditahan di Alor Setar, Kedah, petang semalam selepas enam minggu diburu polis.

Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata penahanan itu susulan laporan diterima daripada pelabur warga asing yang mendakwa kerugian hampir RM8 juta selepas diperdaya rakan niaganya di negara ini, pada 26 Ogos lalu.

Katanya, mangsa mendakwa rakan niaganya dilantik sebagai pengarah syarikat bagi perniagaan pengilangan memproses serbuk ikan dan vitamin untuk pasaran tempatan serta luar negara yang beralamat di Kuala Perlis.

“Siasatan mendapati kejadian bermula sejak 2018 hingga 2020 yang mana suspek mengambil kesempatan ketika sekatan perjalanan dikuatkuasakan sewaktu penularan pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Suspek disyaki melakukan jenayah pecah amanah dan pemalsuan dokumen terhadap syarikat dengan menjual empat lot tanah milik syarikat mereka di Kuala Perlis kepada pihak ketiga.

“Perbuatan berkenaan dilakukan tanpa pengetahuan mangsa yang berada negara asalnya pada kejadian mengakibatkan anggaran kerugian sebanyak RM8 juta,” katanya menurut Berita Harian.

Yusharifuddin berkata, polis sedang mengesan semua suspek termasuk peguam dan pembeli dipercayai berada di beberapa negeri di utara tanah air dan sekitar Lembah Klang menerusi “Ops Pekaka”.

Katanya, mereka dipercayai turut diperdaya suspek dan mengambil langkah awal dengan menyekat urusan diteruskan dengan memasukkan “kaveat” atau pencegahan pendaftaran transaksi mengikut Kanun Tanah Negara (NLC) ke atas semua tanah milik syarikat mangsa.

“Suspek direman dua hari hingga hari ini sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, pada masa sama kita memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki warga tempatan bernama Yong Kok Wah yang juga suspek utama dalam kes ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 409/471 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen dan pecah amanah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.