
Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Barjoyai Bardai, berkata peningkatan purata pendapatan isi rumah adalah kunci utama untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.
“Untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, kita perlu memberi fokus bagi meningkatkan median pendapatan isi rumah kepada sekurang-kurangnya RM10,000. Ini akan memastikan 50% daripada isi rumah memperoleh pendapatan melebihi RM10,000,” katanya kepada FMT.
Ketika ini median pendapatan bulanan rakyat Malaysia yang bekerja adalah RM2,500, bersamaan dengan median pendapatan isi rumah bulanan sebanyak RM4,000 bagi isi rumah mempunyai dua pendapatan atau “double-income families”.
Barjoyai berkata, peningkatan produktiviti adalah perlu untuk menggalakkan majikan membayar gaji pekerja yang lebih tinggi.
Dalam KSP RMK12, kerajaan akan menumpukan usaha ke arah pembangunan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV) yang dikenal pasti seperti: tenaga boleh diperbaharui, teknologi dan pendigitalan, serta pertanian, yang dilihat dapat memacu pertumbuhan ekonomi mampan dan meningkatkan pendapatan isi rumah, kata Barjoyai.
71 strategi utama yang dibentangkan dalam KSP RMK12, termasuk melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), memperkenalkan pelan hala tuju gas asli dan melaksanakan penetapan harga karbon (carbon pricing).
Kerajaan juga akan melaksanakan program kepimpinan dan peningkatan kemahiran digital, memperkukuh ekosistem syarikat permulaan berasaskan teknologi, mempercepat pendigitalan melalui teknologi kerajaan (GovTech), mempelbagaikan industri berasaskan pertanian untuk mengurangkan import makanan serta menggalakkan pertanian rendah karbon.
Barjoyai juga berkata, strategi diperkenalkan dapat meningkatkan gaji pekerja di sektor swasta mahupun perkhidmatan awam dengan penggunaan teknologi untuk menambah baik kecekapan dan penyampaian perkhidmatan.
Beliau juga memuji inisiatif kerajaan dalam usaha menaikkan pembahagian keuntungan atau profit sharing majikan dengan pekerja kepada 40% menjelang 2025. Pada masa ini, “profit sharing” Malaysia adalah pada 32% sahaja, manakala negara membangun kini mencatat sebanyak 60% “profit sharing”.
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman, menggambarkan KSP RMK12 sebagai “radikal”, kerana ia bukan sahaja mengambil kira pelaksanaan RMK12 dalam tempoh dua tahun yang lepas, malah ia juga memperkenalkan pembaharuan yang diperlukan.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar gaji progresif, sebagai salah satu strategi, akan memastikan peningkatan pendapatan bulanan seiring produktiviti yang lebih tinggi.
Syed Hussein menambah, usaha kerajaan untuk memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) akan memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada graduan serta mengetengahkan program TVET sebagai satu laluan kerjaya yang baik.
“TVET dapat melahirkan ramai pekerja berkemahiran tinggi yang menyumbang kepada pembangunan negara. Sehubungan itu, kerajaan menyasarkan peningkatan bilangan tenaga kerja mahir daripada 28% kepada 35% dalam sektor ekonomi, kata Syed Hussain.
Sebuah kumpulan mewakili perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkata, Malaysia terjerumus dalam “perangkap pendapatan menengah” terutama disebabkan oleh “produktiviti buruh negara yang tidak berkembang” dan “kekurangan pemacu ekonomi baharu dari segi peneraju peringkat sektor”.
“Salah satu matlamat utama KSP RMK12 adalah untuk membantu PKS menjadi lebih berjaya dan berdaya bersaing untuk beralih ke rantaian nilai yang lebih tinggi.
“Dengan membuat demikian, kita akan dapat mencipta lebih banyak pekerjaan menawarkan gaji tinggi dan menaikkan upah untuk rakyat Malaysia dengan peningkatan produktiviti,” kata Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng.
KSP RMK12 juga menyasarkan untuk mendigitalkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana bagi meluaskan akses pasaran untuk barangan dan perkhidmatan mereka.