
KPKM dalam menafikan dakwaan penarikan lesen beras Bernas yang tular di aplikasi WhatsApp hari ini, memaklumkan aduan sudah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
“Pihak kementerian menasihatkan orang ramai tidak mempercayai mesej palsu berkenaan dan perbuatan menyebarkan mesej palsu ini perlu dihentikan,” menurut kenyataan KPKM itu.
Pada 3 Dis 2020, kerajaan mengumumkan konsesi Bernas bagi pengedaran beras dalam negara dilanjutkan untuk 10 tahun lagi bermula 11 Jan 2021, selepas konsesi terdahulu tamat pada 10 Jan 2021.
Lanjutan konsesi itu turut melibatkan penambahbaikan terma baharu dan penambahan bilangan obligasi sosial daripada lima kepada 10.
Antaranya memelihara, menyelenggara, mengurus dan mengekalkan stok penimbal beras negara pada paras kuantiti ditetapkan kerajaan; bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani serta pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani.
Mengenai dakwaan penguatkuasaan tidak dijalankan, KPKM berkata Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (Op BPT) sedang dijalankan dan dua kilang disita serta disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) sehingga kini.
Op BPT mula dilaksanakan pada 16 Ogos lalu diketuai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.
Operasi yang memfokuskan pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap kilang padi komersial serta pemborong beras itu melibatkan kerjasama dengan pelbagai agensi, antaranya Kawalselia Padi dan Beras, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta polis.