
Menurut Persatuan Pengilang Malaysia (FMM), negara memiliki potensi besar untuk menjadi pusat pemprosesan makanan bertaraf dunia memandangkan kedudukannya sebagai pengeluar makanan halal.
“Visi sekarang sepatutnya meluaskan keupayaan kita melebihi pasaran halal,” kata Presiden FMM, Soh Thian Lai kepada FMT Business.
Inisiatif ini salah satu daripada banyak inisiatif yang sepatutnya dimasukkan dalam Belanjawan 2024, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat, katanya.

Sektor pembuatan menyumbang 8.1% KDNK pada 2022, menurun daripada 9.5% pada 2021.
Soh berkata kerjasama strategik sektor awam dan swasta penting untuk membina ekosistem makanan yang dinamik.
“Ini harus seiring integrasi rantaian nilai agro-makanan – dari pertanian ke pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerajaan memainkan peranan dalam membina kerjasama seperti itu.
Soh berkata Malaysia juga sepatutnya menerajui usaha mewujudkan pusat pemprosesan makanan sedunia untuk meningkatkan keterjaminan makanan.
Katanya, peranan Malaysia sebagai peneraju dalam sistem pengeluaran makanan halal menjadikan negara ini pilihan semulajadi untuk menerajui inisiatif tersebut.
Tambahnya, perlu ada inisiatif untuk membantu perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) untuk berintegrasi ke dalam rantaian bekalan makanan global.
“Ini langkah strategik. Ia juga penting untuk pertumbuhan dan kemampanan ekonomi,” katanya.