Tangguh perjalanan ke kawasan konflik Palestin-Israel, pesan Wisma Putra

Tangguh perjalanan ke kawasan konflik Palestin-Israel, pesan Wisma Putra

Wisma Putra menasihatkan NGO yang berhasrat ke sana agar merujuk perancangan mereka kepada Kementerian Luar terlebih dahulu.

Menurut Wisma Putra, pada masa ini, terdapat lima rakyat Malaysia, iaitu seorang wanita dewasa dan seorang ibu bersama tiga anaknya di Tebing Barat.
PUTRAJAYA:
Kementerian Luar (Wisma Putra) menasihatkan pihak yang ingin membuat perjalanan ke kawasan konflik Palestin-Israel supaya menangguhkan perancangan berikutan keadaan keselamatan yang masih meruncing ekoran pertempuran antara kedua-dua pihak.

“Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang masih berhasrat untuk ke kawasan berkenaan dinasihatkan untuk merujuk perancangan mereka kepada kementerian terlebih dahulu,” kata Wisma Putra dalam kenyataan.

Pada masa ini, terdapat lima rakyat Malaysia, iaitu seorang wanita dewasa dan seorang ibu bersama tiga anaknya di Tebing Barat. Kedutaan Besar Malaysia di Amman sentiasa berhubung dengan mereka, menurut kenyataan itu.

Wisma Putra menasihatkan mana-mana pihak atau warganegara Malaysia yang mempunyai maklumat mengenai saudara mara atau kenalan yang masih berada di kawasan konflik untuk berhubung dengan kementerian bagi membolehkan bantuan dihulurkan sekiranya perlu.

Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, Malaysia sangat kesal dengan peningkatan jumlah korban dan kecederaan orang awam, serta kemusnahan ekoran pertempuran yang berlarutan sejak 7 Okt lepas.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel mengebom secara keterlaluan dan sewenang-wenangnya kawasan-kawasan awam di samping tindakan rejim menyekat bekalan asas air, elektrik dan makanan,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dan menyambut baik ketetapan sebulat suara Dewan Rakyat pada Isnin mengenai Palestin, termasuk gesaan supaya Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa memberi tekanan bagi menghentikan segala pertempuran.

“Dalam konteks ini, Malaysia turut kesal dengan kegagalan UNSC mencapai persetujuan dalam perkara ini,” katanya.

Mengambil kira situasi kritikal pada masa ini, katanya, masyarakat antarabangsa perlu menyalurkan segera bantuan kemanusiaan seperti bekalan asas dan perubatan.

Tambahnya, rejim Israel tidak berhak menyekat saluran bantuan kemanusiaan.

Sebagai langkah awal, Wisma Putra dalam proses menyalurkan RM1 juta sumbangan kemanusiaan awal dengan segera melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pada Isnin.

Orang awam, agensi dan pertubuhan yang ingin menyumbang melalui AAKRP boleh berbuat demikian di pautan https://forms.gle/PQiA5weQESnCB8pC8.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.