Perlukah PLKN yang ‘membazir’ masa dan wang, soal jeneral tentera bersara

Perlukah PLKN yang ‘membazir’ masa dan wang, soal jeneral tentera bersara

Arshad Raji berkata, kerajaan sebaliknya patut menggunakan model Korea Selatan dan Jepun menyemai patriotisme menerusi kokurikulum sekolah.

Brigadier Jeneral bersara Arshad Raji menganggap program PLKN yang dilaksanakan sebelum ini suatu pembaziran masa dan wang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan mesti buat kajian mendalam mengenai keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), berikutan timbulnya cadangan program itu dihidupkan semula, kata seorang jeneral tentera bersara.

“Kita mesti kaji sekali lagi untuk lihat sama ada PLKN sebelum ini memberi manfaat. Terlalu banyak kelemahan dalam program itu,” kata Brigadier Jeneral bersara Arshad Raji kepada FMT.

Beliau mendapati program itu membazir masa dan sumber.

“Jutaan ringgit dibazirkan, pakaian seragam dibazirkan. Untuk semai semangat patriotik? Bagi saya, ia membuang masa,” kata Arshad.

Pada 2018, dilaporkan kerajaan memperuntukkan RM8.43 bilion untuk PLKN dalam tempoh 14 tahun. Sebahagian besar dari perbelanjaan itu digunakan untuk menyewa kem latihan.

Sebaliknya, Arshad mencadangkan kerajaan menggunakan model Korea Selatan dan Jepun untuk memupuk patriotisme menerusi kokurikulum sekolah.

“Kita tidak boleh mula pupuk patriotisme di Tingkatan 3 atau Tingkatan 5, sudah terlambat. Jika mahu pupuk patriotisme dalam kalangan kanak-kanak, ia mesti bermula pada usia muda,” katanya.

Dalam program PLKN sebelum ini, remaja berusia 18 tahun dipilih secara rawak untuk menjalani latihan selama tiga bulan, merangkumi sesi pembinaan pasukan, kegiatan berkhemah dan penggunaan senjata api.

Pada 9 Okt, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan mengumumkan rancangan untuk mengembalikan semula program itu dengan kos tidak melebihi RM100 juta setahun berbanding RM500 juta sebelum ini.

Kata Mohamad, Kementerian Pertahanan membentuk satu jawatankuasa khas untuk mencari pendekatan terbaru bagi PLKN yang berbeza dengan format sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.