
Peguam Navpreet Singh yang mewakili PKR, ketika dihubungi memberitahu Bernama tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan berikutan pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mariam Hasanah Othman pada Isnin.
Beliau berkata, pihak dalam rayuan diarah mengemukakan hujahan bertulis masing-masing sebelum tarikh pendengaran rayuan.
Pada 23 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR selepas membenarkan saman parti itu.
Hakim Akhtar Tahir mendapati bon itu sah dan kontrak yang mengikat. Beliau turut mengarahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar kos guaman RM50,000.
Saman itu difailkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail pada 28 Sept 2020 bagi parti itu menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada PKR.
Dalam pernyataan tuntutan, Saifuddin mendakwa Zuraida menandatangani bon RM10 juta berdasarkan terma dan syarat ditetapkan.
Terma itu antara lain, Zuraida bersetuju membayar parti itu RM10 juta tidak lewat daripada tujuh hari selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR dan kemudian meletak jawatan daripada parti atau menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Zuraida dalam pembelaannya mendakwa dipaksa menandatangani bon dengan PKR untuk menjadi calon dalam PRU14 pada 2018.
Dalam keputusannya, Akhtar berkata dakwaan Zuraida bahawa beliau menandatangani bon itu di bawah paksaan tidak berasas.
Mahkamah mendapati bon itu adalah perjanjian sah yang mengikat defendan (Zuraida) untuk membayar RM10 juta seperti dijanjikan, jika keahliannya ditamatkan, selain memutuskan reputasi keahlian defendan disebabkan salah laku defendan sendiri.