Penuntut warga asing ditahan bersama 19 pasport palsu

Penuntut warga asing ditahan bersama 19 pasport palsu

Warga Bangladesh itu ditahan ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Pandan Indah.

Polis berkata, suspek didapati memiliki 14 pasport Bangladesh dan lima pasport Indonesia disyaki palsu yang disimpan dalam beg galasnya.
PETALING JAYA:
Seorang penuntut warga asing sebuah universiti awam ditahan memiliki 19 pasport orang lain disyaki palsu ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Pandan Indah, semalam.

Ketua Polis Ampang Jaya Azam Ismail berkata pada awalnya pemeriksaan mendapati suspek dari Bangladesh yang ditahan pada 11.45 pagi tidak memiliki lesen memandu dan dokumen pengenalan diri sah.

“Pemeriksaan lanjut dalam beg galas di belakang badan lelaki itu mendapati terdapat 14 pasport Bangladesh dan lima pasport Indonesia disyaki palsu.

“Semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan saringan air kencing adalah negatif dadah. Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 14 Oktober ini,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 iaitu tanpa kuasa yang sah, ada dalam milikannya mana-mana pasport orang lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.