
Dianggarkan terdapat 1.2 juta hingga 3.5 juta orang warga asing tidak berdokumen di Malaysia, mencetus kebimbangan terhadap ketenteraman awam, masalah sosial dan negara.
Ketelusan, kawalan dan penguatkuasaan ketat perlu bagi menangani kebanjiran pekerja asing dan meyakinkan orang ramai. Ia juga penting dalam memperbaiki rekod hak asasi manusia Malaysia yang terjejas, memandangkan kita perlu mematuhi standard global demi penerimaan eksport dan kelangsungan perniagaan.
Malaysia telah melaksanakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing secara digital (FWCMS) sejak 2015 dengan matlamat menjadi pusat setempat, menyeragamkan, dan melancarkan pengambilan pekerja asing, serta mencegah salah guna proses.
Kontroversi di sebalik pengambilan pekerja asing
FWCMS sering kali menjadi isu memandangkan proses pengambilan pekerja asing sukar difahami dan sering kali disalah erti. Malah, FWCMS dan Bestinet dituduh sebagai monopoli yang menggugat persaingan sihat dalam sektor pengambilan pekerja.
Bagaimanapun, didapati bahawa FWCMS telah dibangunkan pada 2013, tanpa dana kerajaan bagi menyahut seruan membangunkan sistem berpusat bagi proses pengambilan pekerja asing. Terdapat dakwaan mengatakan FWCMS bertindak sebagai broker atau orang tengah, seperti yang didakwa oleh seorang aktivis yang juga bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago. Namun begitu, semakan FMT mengesahkan bahawa FWCMS bukan seperti yang didakwa.
Sebaliknya, FWCMS bertindak sebagai platform penyelesaian yang memudahkan penggunaan, pengesahan dan pendaftaran pekerja asing. Ia menyediakan pengesahan identiti bagi mencegah pemalsuan dan pengesahan pemeriksaan perubatan di negara asal pekerja asing. Tujuannya adalah bagi memastikan pematuhan piawaian kesihatan Malaysia.
FWCMS tidak berkuasa menetap dan menguatkuasakan undang-undang serta peraturan yang berkaitan dengan pengambilan pekerja asing kerana mandat ini hanya dimiliki oleh Kementerian Sumber Manusia, kementerian dan agensi yang berkaitan.
Mengutamakan tadbir urus dan kepercayaan
FWCMS berperanan melincirkan proses pengambilan pekerja asing dan menjadikannya lebih telus, demi kepentingan majikan dan orang ramai. FWCMS turut memberi kesan positif terhadap aspirasi ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) Malaysia.
Menurut Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), penggunaan FWCMS telah meningkatkan tahap tadbir urus dan ketelusan, serta perlindungan buat pekerja asing yang sering menjadi mangsa eksploitasi.
Kawalan yang disediakan oleh FWCMS memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keselamatan mereka tidak terjejas akibat amalan pengambilan pekerja secara haram. Memandangkan FWCMS disepadukan dengan kawalan sempadan, ia memudahkan aktiviti penguatkuasaan, memberi manfaat kepada orang ramai dan pekerja asing dengan mencegah pemalsuan dan kecurian identiti.
FWCMS bukan sekadar merekodkan cap jari, wajah dan pasport pekerja, malah menghubungkannya dengan Jabatan Imigresen Malaysia secara masa nyata bagi tujuan pemeriksaan keselamatan. Ia berupaya menghalang seseorang yang telah disenaraihitamkan daripada menjalani pemeriksaan perubatan.
“Sistem ini dapat menyingkirkan isu orang tengah dan yang beroperasi tanpa lesen serta menangani masalah pemerdagangan manusia dan penganiayaan. Kes pekerja asing yang terkandas juga semakin kurang,” kata Presiden PAPSMA, Kris Foo Yin Choo.
Melancarkan proses pengambilan
FWCMS juga berjaya memendekkan proses pengambilan, daripada beberapa bulan kepada hanya beberapa minggu. Ini memberi manfaat kepada majikan. “Sebelum adanya FWCMS, urusan terpaksa dibuat secara manual. Kini, segalanya dalam talian. Mereka boleh melihat kelayakan, visa, menghantar maklumat, malah dapat mengetahui ketibaan pekerja,” kata Foo lagi.
“Satu-satunya kekurangan FWCMS ialah ia tidak terlibat dengan pembaharuan permit kerja atau pemantauan sekiranya seseorang itu keluar daripada sistem,” kata satu sumber industri yang tidak ingin dikenali. Sebagai contoh, selepas kontrak pekerja asing itu berakhir, anda tidak boleh memperbaharuinya menerusi FWCMS; sebaliknya perlu menggunakan pembaharuan PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementara) di sistem lain.”
“Pihak industri mahukan proses yang lengkap – bermula daripada permohonan, hinggalah kepada pekerja yang datang semula atau membaharui kontraknya,” tambah sumber itu lagi.