
Tinjauan pendapat itu terbuka kepada semua rakyat dan boleh dibuat menerusi aplikasi MySejahtera bermula hari ini.
“Tinjauan pendapat ini meliputi pelbagai topik termasuk pandangan orang ramai terhadap risiko kesihatan merokok, peruntukan GEG, dan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023,” kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan.
Undang-undang yang secara rasmi dikenali sebagai RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian, dan penjualan rokok serta produk vape kepada individu lahir selepas 2007.
Semalam, timbul tanda tanya mengenai pembentangan untuk bacaan kedua RUU itu selepas KKM menangguhkan taklimat kepada Ahli Parlimen.
KKM menangguhkan sidang media berkait RUU itu yang dijadualkan pada tengah hari semalam. Tiada alasan diberikan mengenai penangguhan itu.
Walaupun sumber beritahu FMT pembentangan RUU itu di Dewan Rakyat ditangguhkan namun tiada pengesahan daripada KKM.