
Hassan Karim berkata sudah tiba industri itu diangkat semula sebagai pengajian utama di universiti memandangkan negara bergelut dengan isu keterjaminan makanan, ekoran dunia berdepan krisis perubahan iklim.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang itu, jurusan atau kursus ditawarkan di UPM ketika ini boleh dikekalkan namun fokus utama universiti itu perlu kembali kepada matlamat asalnya iaitu memajukan sektor pertanian negara.
“Dulu orang tak pandang penting pertanian ini, semua nak menuju kepada industri… tetapi bila sekarang isu ‘keselamatan makanan’, beras pun tak pernah selama ini orang beratur cari beras tempatan.
“Sekarang orang dah mula bimbang… jadi nampaknya dunia pertanian, ilmu pertanian sangat penting,” katanya kepada FMT.
“Balik semula nama kepada universiti pertanian, maknanya imej UPM itu (dikembalikan). Adakah pertanian ini tidak glamour?” soalnya.
Bermula dari sebuah sekolah pertanian pada 21 Mei 1931 di kawasan seluas 22 ekar di Serdang, pusat itu hanya menawarkan program diploma tiga tahun dan program sijil satu tahun dalam bidang pertanian.
Ia kemudian dinaik taraf sebagai Kolej Pertanian Malaya pada 23 Jun 1947 sebelum diangkat menjadi universiti sepenuhya, 26 tahun selepas itu.
Namanya ditukar kepada Universiti Putra Malaysia pada 1997 oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad, selaras statusnya sebagai pusat pengajian tinggi menyediakan pelbagai disiplin bidang, terutama sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan pembangunan negara ketika itu.
Hassan berpendapat negara seharusnya tidak meminggirkan industri pertanian dalam usaha menuju ke negara perindustrian, merujuk kejayaan Jepun membangunkan dan memajukan sektor industri dan pertanian seiring.
“Di Jepun teknologi mereka tentang robotik tentang kecerdasan buatan (AI), penghasilan mesin berteknologi tinggi … semua cukup bagus. Dunia pertanian mereka juga cukup maju.
“Jadi kita di Malaysia mesti kembali… ambil peranan penting dalam pertanian itu.”
“Mungkin ada satu pandangan universiti pertanian ini sebagai universiti kampung, itu silap,” tegasnya.