
Menurut mantan gabenor Jakarta itu, beliau secara peribadi mengambil berat permasalahan rakyatnya yang merantau demi mencari rezeki, sambil berkata “masih banyak harus dilakukan”.
“Kami memerhati persoalan pekerja migran Indonesia. Kami menyedari sumbangan saudara-saudara semua bagi (pertumbuhan) ekonomi Indonesia.
“Kami tahu banyak yang harus dilakukan bagi melindungi pekerja migran,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama FMT semalam.
Bekas menteri pendidikan dan kebudayaan Indonesia itu dalam siri lawatannya ke Malaysia bermula semalam. Selain Anies, Ganjar Pranowo dan Prabowo Subianto dijangka bertanding pada Pilihan Raya Presiden (PILPRES), 14 Feb tahun depan.
Pada Jun lalu, Pengarah Imigresen Indonesia Silmy Karim dipetik berkata mengikut data Putrajaya, dianggarkan 450,000 warganya bekerja di Malaysia namun kedutaan negara itu pula melaporkan jumlahnya seramai 1.5 juta orang.
Menghargai usaha migran yang “mensejahterakan” kampung halaman dengan sumbangan pendapatan, Anies turut menitipkan nasihat supaya mereka sentiasa menjaga nama baik negara itu di mana sahaja mereka bekerja.
“Walaupun jauh dari kampung tapi kami yakin hati dan fikiran saudara-saudara semua tidak akan jauh dari kampung halaman.
“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Berada di negeri ini (Malaysia), ingat bawa nama baik Indonesia,” katanya.
“Jaga nama baik kampung halaman, hormati peraturan, dan pastikan hadir di sini sebagai peribadi yang disyukuri yang dirasakan manfaatnya.”