
Ahli Parlimen Subang Wong Chen memuji prosedur baharu ini dimasukkan dalam agenda Dewan Rakyat. Beliau berkata, perbincangan terbuka seperti itu tidak pernah berlaku di Dewan.
“Saya sudah jadi Ahli Parlimen selama 11 tahun, dan ini kali pertama saya lihat format sedemikian digunakan,” katanya kepada FMT.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menjadi menteri pertama membuat kenyataan, bercakap mengenai masalah bekalan beras.
Ini diikuti Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, yang bercakap mengenai jerebu; Menteri Pertahanan Mohamad Hasan bercakap mengenai Boustead Holdings dan projek kapal tempur pesisir; dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengenai reformasi penjara dan pusat tahanan.
Prosedur baharu untuk memberikan kenyataan menteri serupa dengan amalan di Westminster, yang mana menteri boleh mengemukakan perkara mendesak kepada Dewan Rakyat walaupun dengan notis singkat.
Wong, ahli PKR, berkata menteri-menteri diberi masa kira-kira 15 hingga 20 minit untuk memberi ucapan menjelaskan pendirian mereka mengenai perkara-perkara yang mendesak. Ahli Parlimen kemudian berpeluang bertanya dan mendapatkan penjelasan.
Beliau berkata, ini membolehkan Ahli Parlimen mendapatkan maklum balas lebih cepat mengenai perkara semasa, berbanding menerusi soalan bertulis atau lisan.
“Ini bagus kerana ia kurang formal dan Dewan boleh membincangkan perkara-perkara penting negara tanpa terlalu banyak berpolitik kerana ini bukan usul dan undi tidak diperlukan.
“Ketidakformalan ini membenarkan perbincangan yang lebih bebas dan terbuka dan pendirian Ahli Parlimen lebih kepada menzahirkan kebimbangan dan cuba mencari penyelesaian yang membina, bukannya bertengkar mengenai dasar,” katanya.
Wong berkata, ini juga memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa Parlimen komited untuk melaksanakan format dan idea baharu.