‘Jangan buat spekulasi’, kata Armizan berkait menteri KPDN

‘Jangan buat spekulasi’, kata Armizan berkait menteri KPDN

Armizan Mohd Ali berkata segala keputusan terserah kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim walaupun mengakui ada keperluan jawatan menteri KPDN perlu dibuat segera.

Armizan Mohd Ali melawat gerai pempamer selepas majlis penyerahan sijil kelulusan pendaftaran francais dan lesen jualan langsung di KPDN, Putrajaya.
PUTRAJAYA:
Selepas beberapa hari lalu meluahkan hasrat supaya jawatan dipangkunya di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diisi segera, Armizan Mohd Ali hari ini meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berkaitannya.

Beliau berkata, sebarang keputusan terserah kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sungguhpun mengakui memang ada keperluan mengenai pengisian jawatan berkenaan.

“Saya fikir lebih baik tidak membuat spekulasi. Jangan memberi tekanan kepada perdana menteri. Pelantikan itu adalah kuasa beliau dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau kita buat sebarang spekulasi dan bercakap lebih banyak, lagi lambat perdana menteri mengisi tempat ini. Kita tunggu sahaja,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelulusan Pendaftaran Francais dan Lesen Jualan Langsung.

Jumaat lalu, Armizan meluahkan hasratnya agar jawatan itu diisi segera, susulan ura-ura rombakan Jemaah Menteri yang bakal dibuat dalam masa terdekat.

Memangku jawatan itu sejak 30 Julai lalu susulan kematian Salahuddin Ayub, beliau mengakui komitmen tinggi diperlukan dan cabaran kepada kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup.

Armizan secara berseloroh menyebut: “ Sejak memangku, kepala saya yang sedia botak pun semakin licin. Rambut pun takut mahu tumbuh.”

Pada 27 Sep lalu, Anwar berkata beliau masih sedang memikirkan tentang rombakan Jemaah Menteri yang bakal dibuat antaranya untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Salahuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.