
Beberapa pengusaha pertanian yang ditemui FMT berharap kerajaan menerusi Belanjawan 2024 dapat mengumumkan peruntukan lebih besar untuk memperkenalkan penggunaan teknologi dalam usaha meningkatkan pengeluaran dan kualiti.
Penternak ayam Khairul Hisyam Sa’hari berkata pembabitan institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan boleh dikembangkan skopnya untuk fokus kepada kejuruteraan genetik untuk menghasilkan baka lebih berkualiti.
“Dengan memajukan penghasilan makanan saya percaya dengan penemuan baharu akan boleh menyumbang kepada kemajuan dalam penghasilan makanan, sekali gus dapat kita mengoptimumkan kos pengeluaran untuk makanan serta baka-baka yang bagus,” katanya yang mempunyai ladang ternakan di Sungai Jang, Kerling, Hulu Selangor.
Katanya, kerajaan perlu menyediakan peruntukan untuk penyediaan pusat latihan bagi menambah tenaga kerja mahir dalam bidang ini selain mempergiatkan promosi.
Sementara itu, Bendahari Persatuan Persaudaraan Pesawah Malaysia Muhammad Rafirdaus Abu Bakar berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk melabur kepada pertukaran varieti padi yang lebih cepat matang untuk mengatasi isu bekalan seperti dialami ketika ini.
“Hapuskan padi yang ada hari ini buat varieti baru, sekarang 115 hari varieti 297 (Benih padi varieti MARDI Siraj 297), varieti 315 (MR315) umur dia 110 ke 115 hari makna kata tiga bulan lebih kena tunggu.
“Jadi kerajaan melalui Mardi buat macam Indonesia, Vietnam padi 90 hari. Di situ petani dapat menjimatkan kos menunggu,” katanya.
Pengusaha kebun bunga kantan, Saqdam Zaim Arffain pula berpandangan bahawa industri pertanian masih lagi ‘dianaktirikan’ dan stigma itu perlu dihapuskan dengan penyediaan insentif modal, tanah dan baja untuk pekebun baharu.
“Sebenarnya dia bukan kita kecil atau besar masalahnya bila kita tidak diangkat dengan betul-betul, tidak diketengahkan sebagai orang yang penting dalam negara,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Selangor Idrus Zainal Abidin berkata pihaknya berharap kerajaan memberi peluang yang lebih besar kepada pemain industri dengan memudahkan urusan untuk menceburi bidang ini.
“Bagilah peluang kepada kami dalam keterjaminan makanan untuk masa depan, kalau kita bergantung kepada import kita…bahaya sebenarnya,” katanya.