Warga Felda beri sokongan padu kepada kerajaan di Pelangai, kata Fahmi

Warga Felda beri sokongan padu kepada kerajaan di Pelangai, kata Fahmi

Jurucakap kerajaan perpaduan mengulas kenyataan Pengerusi PN Pahang Saifuddin Abdullah bahawa gabungan itu memperoleh undi masyarakat Felda di PRK Pelangai.

Pada PRK DUN Pelangai Sabtu lalu calon BN Amizar Abu Adam menang dengan majoriti 2,949 undi selepas memperoleh 7,324 undi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan konon Perikatan Nasional (PN) memperoleh sokongan masyarakat Felda pada PRK DUN Pelangai, Sabtu lalu.

Fahmi yang juga menteri komunikasi dan digital berkata, melihat kepada skor kad keputusan PRK itu secara umum, saluran satu iaitu untuk warga emas di ketiga-tiga Felda iaitu Kemasul, Kemahal dan Chemomoi memberi sokongan padu kepada kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, saluran empat serta lima untuk golongan anak muda di dua Felda dalam DUN berkenaan juga secara majoritinya menyokong kerajaan hari ini dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN) Amizar Abu Adam.

“Kita lihat yang paling penting keputusan PRK Pelangai membuktikan bahawa rakyat Pelangai menolak politik perkauman, politik 3R (agama, bangsa dan Institusi Diraja) dan menyokong kerajaan perpaduan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Pos Sedunia 2023 di ibu pejabat Pos Malaysia.

Jurucakap kerajaan perpaduan itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi PN Pahang Saifuddin Abdullah bahawa gabungan itu memperoleh undi masyarakat Felda di PRK DUN Pelangai.

Pada PRK DUN Pelangai Sabtu lalu, Amizar menang dengan majoriti 2,949 undi selepas memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi serta calon bebas Haslihelmy DM Zulhasli yang hanya meraih 47 undi.

Sementara itu, Fahmi turut menafikan beberapa pihak konon kerajaan menyekat rakyat daripada bersuara dan menyatakan fakta berkaitan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sebarang tindakan diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) adalah berlandaskan undang-undang dan atas permintaan agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atau polis untuk menyekat akses kepada mana-mana laman web atau akaun.

“Ia tidak bersifat untuk mengekang hak kebebasan bersuara, cuma peringatan saya di Malaysia, kita ada hak bersuara tetapi kita juga ada batas undang-undang dan batas-batas adab,” katanya.

Beliau juga memaklumkan setakat hari ini, tiada wartawan ditangkap atau surat khabar dihentikan perlesenannya di negara ini bagi menyekat kebebasan hak bersuara mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.