RUU GEG tak jadi bentang?

RUU GEG tak jadi bentang?

Persoalan timbul selepas taklimat Ahli Parlimen berhubung RUU Generasi Penamat ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

RUU GEG bertujuan melarang penggunaan, pembelian, dan penjualan rokok dan produk vape kepada individu lahir selepas 2007. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persoalan berlegar sama ada rang undang-undang (RUU) kawalan produk merokok demi kesihatan awam 2023 bagi bacaan kedua di Dewan Rakyat esok akan dibentangkan.

Ia susulan taklimat Kementerian Kesihatan kepada Ahli Parlimen yang dijadual diadakan pada 5 petang ini, ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Kementerian itu juga menangguhkan taklimat media berhubung RUU tersebut yang dijadual tengah hari ini di Parlimen dengan tiada alasan diberikan.

Sumber terdekat memberitahu FMT, pembentangan RUU berkenaan ditangguhkan.

Ketika laporan ini dikeluarkan, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan pasukan komunikasi kementerian itu belum memberi maklum balas terhadap pertanyaan sama ada pembentangan RUU terbabit yang juga dikenali RUU Generasi Penamat (GEG), ditangguh.

Minggu lalu, Zaliha mengumumkan Jemaah Menteri memutuskan RUU berkenaan akan dibentang bagi bacaan kali kedua, pada 10 Okt.

RUU GEG bertujuan melarang penggunaan, pembelian dan penjualan rokok dan produk vape kepada individu lahir selepas 2007.

Ia pertama kali dibentangkan menteri kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin pada Julai tahun lalu, dengan RUU berkenaan mendapat tentangan beberapa Ahli Parlimen berhubung kandungannya. Jawatankuasa khas Parlimen berhubung kesihatan diminta menangani isu berbangkit.

RUU itu juga dirujuk kepada Jawatankuasa Parlimen berhubung kesihatan bagi bacaan kali pertama pada Jun, dengan Zaliha menyatakan minggu lalu bahawa jawatankuasa sudah mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan dengan pemegang taruh bagi mendapatkan sokongan bipartisan.

“Jawatankuasa telah mengutarakan beberapa cadangan dan semuanya diterima baik oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Beberapa kumpulan menyatakan tentangan terhadap RUU berkenaan, termasuk hukuman denda berat bagi kesalahan, kurang libat urus dengan pemegang taruh, dan impak ekonomi terhadap peruncit.

Antaranya, Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia yang berkata, RUU tersebut akan menghantar “mesej salah” kepada pelabur.

Ia berkata, pemain industri sedia ada, termasuk pengeluar, pengedar, dan peruncit berkaitan sektor vape akan terjejas.

RUU berkenaan dirangka memandangkan negara menanggung kos RM6 bilion setahun akibat kesan merokok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.