MetMalaysia jangka jerebu tak berpanjangan

MetMalaysia jangka jerebu tak berpanjangan

Menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim berkata jika jerebu berterusan dan keadaan kualiti udara semakin merosot kementerian sedia melakukan operasi pembenihan awan.

Pencemaran udara akibat jerebu menyebabkan beberapa bandar utama di Semenanjung mencatatkan kualiti tidak sihat sejak beberapa hari lalu.
KUALA LUMPUR:
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan jerebu tidak berpanjangan memandangkan tiupan angin yang kerap berubah, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, jika jerebu berterusan dan keadaan kualiti udara semakin merosot (IPU 151-200 melebihi 24 jam), kementerian melalui MetMalaysia bersedia melakukan operasi pembenihan awan.

“(Ini) di bawah penyelarasan Nadma (dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia) tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai.

“Kementerian melalui MetMalaysia juga menyediakan ramalan hingga lima hari pergerakan jerebu rentas sempadan yang dijana menggunakan Model Ramalan Pergerakan Jerebu iaitu Hybrid Single-13 Particle Lagrangian Integrated Trajectory (HYSPLIT) dan Copernicus Atmospheric Monitoring Service (CAMS) kepada jabatan dan agensi berkaitan,” katanya memberi penerangan mengenai fenomena jerebu melanda negara di Dewan Rakyat.

Nik Nazmi berkata, “output” ramalan pergerakan jerebu juga dimaklumkan kepada orang awam melalui laman web MetMalaysia (http://bencana.met.gov.my).

Sementara itu, Nik Nazmi berkata kementerian sudah memulakan langkah kesiapsiagaan sejak awal tahun ini dan terus komited memberi perkhidmatan yang cekap kepada rakyat bagi menghadapi jerebu.

Pencemaran udara akibat jerebu menyebabkan beberapa bandar utama di Semenanjung mencatatkan kualiti tidak sihat sejak beberapa hari lalu.

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.