Bekas aktivis pelajar didapati salah protes majlis konvo

Bekas aktivis pelajar didapati salah protes majlis konvo

Wong Yan Ke mencetuskan pecah keamanan awam dalam majlis konvokesyennya di UM pada 2019 apabila membawa plakad tuntut peletakan jawatan naib canselor.

Majistret mendapati Wong Yan Ke gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
KUALA LUMPUR:
Bekas aktivis pelajar, Wong Yan Ke, didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret kerana menghina naib canselor dengan mengadakan protes ketika majlis konvokesyen pada 2019.

Majistret Illi Marisqa Khalizan, dalam penghakimannya pagi ini, berkata Wong gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wong didenda RM5,000, atau berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bekas presiden Belia Persatuan Baharu Universiti Malaya (Umany) itu dituduh dengan sengaja mengaibkan dan dengan jalan sedemikian mendatangkan marah kepada Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim dan tetamu dalam Istiadat Konvokesyen ke 59.

Dia mencetuskan pecah keamanan awam pada majlis konvokesyennya, pada 14 Okt 2019, apabila membawa plakad protes di pentas, menuntut Rahim meletakkan jawatan sebagai naib canselor.

Dalam penghakimannya, majistret berkata, mahkamah tidak dapat bersetuju dengan alasan diberikan Wong yang mendakwa dia tidak mempunyai pilihan lain dalam menyuarakan pandangannya.

Terdahulu, sebelum majistret menyampaikan hukuman, mahkamah mendengar kenyataan Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Saman yang memohon hukuman dikenakan sebagai pengajaran dan menghantar mesej kepada masyarakat tidak melakukan perbuatan tidak sopan dalam majlis rasmi.

Dalam pada itu, peguam Wong Chong Kar Yan, berkata tertuduh akan membayar denda dan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Wong, graduan Ijazah Kejuruteraan Awam didakwa pada Februari 2020.

Minggu lalu, Wong yang juga penyelaras Suara Rakyat Malaysia, dilepas tanpa bebas (DNAA) kerana ingkar arahan polis untuk menghentikan serbuan di rumahnya, pada 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.