Bajet 2024: Veteran tentera harap tawaran pencen lebih baik

Bajet 2024: Veteran tentera harap tawaran pencen lebih baik

Kira-kira 86,000 veteran dan balu kini menampung hidup dengan pencen sekitar RM1,000 sebulan, menurut PVATM.

Presiden PVATM Shahruddin Omar berkata, ahli-ahli persatuannya masih berjuang untuk mendapatkan tawaran pencen lebih baik 10 tahun selepas kerajaan meminda undang-undang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Veteran tentera yang bersara sebelum 2013 berharap Bajet 2024, dijadual dibentangkan pada 13 Okt, akan memberikan rangsangan yang amat diperlukan bagi pencen mereka.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Shahruddin Omar berkata, tahun ini sangat bermakna bagi ahli-ahlinya.

Katanya, 10 tahun telah berlalu sejak Akta Pencen 1980 dipinda untuk memberikan pencen lebih tinggi kepada veteran yang berkhidmat sekurang-kurangnya 21 tahun, dan kenaikan tahunan 2%.

Bagaimanapun, pindaan itu tidak terpakai bagi askar yang bersara sebelum 2013, menyebabkan mereka sekadar menerima pencen bulanan antara RM500 hingga RM2,000.

Shahruddin mendakwa, pada puratanya, kira-kira 86,000 veteran dan balu hanya menerima RM1,000 sebulan dan sedang berusaha mendapatkan tawaran lebih baik.

“Mereka telah bergelut terlalu lama dan pencen mereka tidak cukup untuk menampung kenaikan kos sara hidup,” katanya kepada FMT.

“Ramai antara mereka kini berusia lebih 60 tahun dan memerlukan bantuan kewangan. Mereka hidup bawah paras kemiskinan.”

PVATM meminta kerajaan meneruskan pembayaran semasa bantuan khas untuk pesara veterannya, dikenali sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP).

Shahruddin berkata, bantuan PKKP merangkumi 20% daripada pendapatan veteran, dan pemansuhannya akan teruk menjejaskan mereka.

Sementara itu, menjelang Bajet 2024, Mizan Aslam daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia berkata, sudah tiba masanya kerajaan melabur dalam teknologi terkini di tengah-tengah peningkatan ancaman siber.

“Kerajaan harus lebih banyak melabur dalam keselamatan siber dan memperoleh aset dengan teknologi terkini, seiring pembiayaan untuk melatih kakitangannya dengan sewajarnya.

“(Hal ini kerana) ancaman terbesar bagi kita pada tahun-tahun mendatang akan (wujud dalam bentuk) serangan siber,” kata pakar pertahanan dan keselamatan itu.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu melabur untuk mengukuhkan keselamatan sempadan, terutamanya di sempadan negara dengan Thailand.

Kerajaan harus membina tembok di sepanjang sempadan untuk mencegah jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan barangan subsidi seperti paket minyak masak, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.