
Katanya, pelaksanaan tahanan rumah akan memberi kelonggaran kepada banduan tertentu, khususnya ibu mengandung untuk menjalani hukuman di luar penjara.
“Seorang wanita sedang hamil yang dijatuhkan hukuman atas apa pun kesalahan kerana hukumannya itu, dia mesti ditempatkan di penjara. Kalau kita boleh adakan tahanan di rumah, ibu hamil ini yang sepatutnya berada di rumah jaga kehamilan, kita pakaikan EMD.
“Kalau kita tidak terokai cara ini, ibu hamil itu akan jadi penghuni penjara,” katanya pada sesi penerangan berhubung isu reformasi penjara dan pusat tahanan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, hasrat Jabatan Penjara itu mampu mengurangkan masalah kesesakan di penjara.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, kerajaan berhasrat meminda undang-undang atau akta penyalahgunaan dadah, khususnya Seksyen 15 (1) supaya penagih dadah terus dihantar ke pusat pemulihan, bukannya diheret ke mahkamah.
Katanya, cadangan itu bagi memastikan sistem perundangan semasa kekal relevan dengan mengalihkan penyalahgunaan dadah daripada hukuman penjara kepada program rawatan.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri juga bersetuju menggubal peraturan lokap baharu menggantikan Kaedah-kaedah Lokap 1953 yang tidak pernah dikaji sejak 70 tahun lalu.
Katanya, keperluan semasa untuk menjamin hak asasi tahanan dan menambah baik pengurusan lokap perlu bergerak seiring bagi mengelakkan perkara tidak diingini seperti kematian tahanan dalam lokap.