Melaka perlu 3 juta nyamuk Aedes Berwolbachia kekang wabak denggi

Melaka perlu 3 juta nyamuk Aedes Berwolbachia kekang wabak denggi

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman berkata ketika ini pihaknya hanya mampu membiakkan nyamuk Berwolbachia sekitar 50,000 seminggu.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman melepaskan nyamuk Aedes Berwolbachia untuk mengekang wabak denggi di Taman Tasik Utama di Ayer Keroh today. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Melaka merancang untuk memperluas lokaliti pelepasan nyamuk Aedes Berwolbachia bagi mengekang wabak denggi tetapi usaha tersebut terbantut akibat tiada kemampuan untuk membiakkan lebih banyak nyamuk berkenaan.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman berkata ketika ini pihaknya hanya mampu membiakkan nyamuk Berwolbachia sekitar 50,000 seminggu.

“Jika kita dapat membiakkan dua hingga tiga juta ekor nyamuk Berwolbachia seminggu, mungkin Projek Pelepasan Nyamuk Berwolbachia dapat diperluas ke lebih banyak lokaliti ‘panas’ demam denggi,” katanya lapor Bernama.

Jabatan Kesihatan Melaka merancang untuk meluaskan lokaliti pelepasan nyamuk Aedes Berwolbachia terutama di Melaka Tengah, secara berperingkat untuk mengekang wabak denggi di negeri itu.

Antara lokasi lain yang menjadi fokus adalah Kota Laksamana, Sungai Udang dan Bukit Baru.

“Kita bergantung kepada banyak pihak antaranya Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kerana mereka terlibat dalam penghasilan telur nyamuk berkenaan,” kata Rusdi.

Beliau berkata walaupun tiada kematian direkodkan akibat denggi di negeri itu pada Minggu Epidemilogi (ME 39) berakhir pada 30 Sept lepas, namun kes demam itu mencatatkan peningkatan sebanyak 96.61% kepada 869 kes berbanding 442 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata sehingga 30 September lepas juga, pihaknya telah memeriksa 67,344 premis di negeri itu dan 7,793 daripada premis berkenaan dikesan positif pembiakan nyamuk Aedes.

“Sebanyak 549 kompaun bernilai RM274,500 juga dikeluarkan, 248 kes didaftarkan di mahkamah kerana tidak membayar kompaun manakala sebanyak 79 kes pula disabitkan kesalahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.