Kemenangan di Pelangai bukti BN berjaya dobrak naratif fitnah, kata Anwar

Kemenangan di Pelangai bukti BN berjaya dobrak naratif fitnah, kata Anwar

Perdana menteri berkata, kemenangan itu menjadi kesinambungan kecemerlangan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Anwar Ibrahim berkata, kemenangan di PRK Pelangai meniup semangat kerajaan perpaduan untuk terus merancakkan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat berlandaskan kerangka ekonomi Madani. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan Barisan Nasional mempertahankan DUN Pelangai hasil kerjasama parti dalam kerajaan perpaduan berjaya mendobrak naratif fitnah dan perkauman sempit.

Perdana menteri berkata, kemenangan itu menjadi kesinambungan kecemerlangan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Ia juga meniup semangat kepada kerajaan perpaduan untuk terus merancakkan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat berlandaskan kerangka ekonomi Madani,” katanya dalam catatan Facebook.

Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana terus memberi kepercayaan kepada kerajaan perpaduan.

“Tahniah kepada Amizar yang memenangi PRK DUN Pelangai. Sekalung penghargaan juga kepada barisan jentera yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan ini.”

Calon BN, Amizar Abu Adam memenangi kerusi Pelangai dengan meraih 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional, Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasni yang sekadar memperoleh 47 undi.

Ia adalah kemenangan ketiga buat BN-Pakatan Harapan, selepas PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor pada 9 Sept lalu.

PRK itu diadakan susulan kematian Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim (PN), calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang, Isa Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.