
“Dulu kita ada isu untuk dapatkan vaksin Covid-19, tetapi kali ini kita dah ada SIDC dan mempunyai tenaga pakar,” katanya kepada pemberita selepas sebuah acara di Kuching lapor Bernama.
“SIDC dan pakar kita akan dapat melakukan penyelidikan bukan sahaja untuk aspek penyembuhan tetapi juga vaksin.”
Sementara itu, premier Sarawak itu berkata, Sarawak perlu berhati-hati dan bersedia dalam menghadapi kemungkinan kemunculan Penyakit X di negeri itu.
Buat masa ini, katanya, tiada maklumat terperinci mengenai penyakit itu dan Sarawak akan bertindak berdasarkan maklumat dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Berdasarkan pengalaman kita dengan Covid-19 sebelum ini, kita perlu berjaga-jaga dan tunggu pandangan WHO untuk mengetahui apakah Penyakit X ini.
“Apabila sudah tahu maklumat terperinci, baru kita boleh bertindak dan kenal pasti vaksin,” katanya.
Penyakit X ialah nama diberikan oleh WHO pada 2018 untuk penyakit yang diakibatkan oleh sejenis patogen tidak diketahui yang berpotensi menyebabkan wabak di seluruh dunia.
Walaupun sifat dan waktu Penyakit X masih belum dikenal pasti, dilaporkan pakar kesihatan telah menyuarakan kebimbangan tentang impaknya.