
Presiden Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Damien Thanam Divean menegaskan kenyataan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Rabu lalu mengenai perkara itu dilihat tidak mencukupi dan dibimbangi hanya sekadar khayalan atau omong kosong.
“Kami saran menteri besar (Amirudin) ‘konkrit’ lagi kenyataan, buat moratorium penerokaan dan perlombongan REE untuk 30 tahun dengan serta-merta.
“Jika tidak kenyataannya boleh disifatkan sebagai melepaskan tembakan peluru kapur sahaja,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Amirudin bahawa pentadbirannya tidak berminat untuk meneroka REE sebagai sumber pendapatan, sungguhpun dimaklumkan kewujudannya di negeri ini.
Kenyataannya itu menyusul susulan pengumuman Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa kerajaan negeri dibenarkan melaksanakan penerokaan awal REE berdasarkan SOP REE tanpa radioaktif (NR-REE)
Sementara itu, Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) Hafizuddin Nasarudin turut menyambut baik pengumuman itu kerana masih was-was dengan impak perlombongan REE terhadap alam sekitar.
Menurutnya, sebelum ini pelbagai SOP telah disediakan dalam pembangunan sesebuah kawasan khususnya hutan simpan tetapi ada pihak tidak mematuhinya.
“Jadi berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan yang masih lemah ini, adakah mereka ini akan mematuhi SOP perlombongan REE ini?” katanya.
Tegasnya, walaupun tidak melibatkan kemusnahan hutan atau penerbangan pokok tetapi penggunaan cecair bahan kimia dalam kuantiti besar bagi proses mengekstrak REE yang akan dimasukkan dalam tanah mungkin menyebabkan berlakunya pencemaran sistem saliran.
“Kalau satu-satu sungai atau punca air telah dicemari Ammonium Sulfate (cecair bahan kimia), kita memang tak boleh guna air itu sama ada untuk minuman, kegunaan seharian dan sebagainya.
“Jika berlaku pencemaran, loji rawatan air terpaksa dihenti tugas dan rakyat yang mengalami masalah bekalan air. Selangor sudah ada banyak masalah air, adakah kita nak cemarkan air lagi?” katanya.