Amizar ikrar teruskan legasi Johari di Pelangai

Amizar ikrar teruskan legasi Johari di Pelangai

Amizar Abu Adam berkata beliau akan memikul amanah yang diberi pengundi Pelangai kepadanya dengan baik.

Amizar Abu Adam berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan meraih 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional Kasim Samat (4,375 undi) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni (47 undi). (Gambar Bernama)
BENTONG:
Amizar Abu Adam berikrar akan memikul amanah yang diberikan pengundi kepadanya dengan baik dan meneruskan legasi Johari Harun selepas menang dalam PRK DUN Pelangai.

Amizar, 53, yang mewakili Barisan Nasional (BN) turut melahirkan rasa syukur atas kemenangan itu setelah beliau sebelum ini tewas sebagai calon di DUN Ketari pada PRU15 lepas.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan BN serta pengundi kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi wakil rakyat di kawasan yang dikenali sebagai “penghujung Pahang” itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi DUN Pelangai yang memilih BN sebagai parti yang akan terus memberikan perkhidmatan di sini,” katanya ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.

Ahli Jawatankuasa Umno Bentong itu menang dengan majoriti 2,949 undi apabila meraih 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat (4,375 undi) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni (47 undi).

PRK hari ini diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan selepas Johari, yang juga exco Pahang meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.