Salah guna kuasa, kata Muhyiddin berkait serbuan SPRM di pejabat peguam

Salah guna kuasa, kata Muhyiddin berkait serbuan SPRM di pejabat peguam

Pengerusi PN mempersoalkan tujuan SPRM menyerbu firma guaman yang mempertahankan dirinya.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata serbuan SPRM di pejabat firma guaman yang mewakilinya menunjukkan seolah-olah ada sesuatu hendak dilakukan.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di firma guaman yang mewakilinya adalah satu bentuk salah guna kuasa.

Bekas perdana menteri itu mempersoalkan tujuan SPRM menyerbu pejabat peguam berkenaan yang membelanya dalam beberapa kes dihadapinya di mahkamah.

“Ini salah guna kuasa sedangkan dia peguam yang pertahankan diri saya. Untuk tujuan apa SPRM pergi sana (buat serbuan).

“Ini seolah-olah ada gambaran sesuatu nak dilakukan. Ini salah guna kuasa pihak tertentu,” katanya pada pentas akhir ceramah mega PRK Pelangai di Dataran Purnama, Bentong.

Muhyiddin juga menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghentikan “kezaliman” dan memfokuskan tumpuan kepada ekonomi negara serta membantu rakyat.

“Anwar cukuplah. Jangan teruskan kezaliman dibuat. Berikan tumpuan menyelamatkan ekonomi negara dan beri bantuan supaya rakyat terbela.

“Kemenangan di Pelangai adalah isyarat cukup penting (kepada kerajaan). Saya percaya (boleh menang), ramai datang tunjuk sokongan padu,” katanya.

Terdahulu, SPRM dilaporkan menyerbu sebuah firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership pagi tadi.

Satu sumber dari firma guaman itu mengesahkan perkara tersebut kepada FMT.

Rosli adalah peguam mewakili presiden Bersatu itu.

“Ya, firma kami diserbu pegawai SPRM pada pagi tadi, tetapi saya tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut,” kata sumber itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.