Jangan lagi cuba jual saham syarikat LTAT kepada pihak luar, kata veteran tentera

Jangan lagi cuba jual saham syarikat LTAT kepada pihak luar, kata veteran tentera

Persatuan Veteran Angkatan Tentera sambut baik tindakan LTAT menyelamatkan BPlant dengan membeli sahamnya.

Perjanjian LTAT-KLK untuk pengambilahan saham Bplant ditamatkan kelmarin. (Gambar KLK)
PETALING JAYA:
Persatuan Veteran Angkatan Tentera (PVATM) menyambut baik tindakan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ‘menyelamatkan’ Boustead Plantations Bhd (BPlant), berbanding menjualnya kepada pihak luar seperti dirancang sebelum ini.

Presidennya Shahruddin Omar berkata pengumuman LTAT semalam untuk membeli kumpulan perladangan itu pada harga RM1.55 sesaham dianggap mampu memulihkan prestasi kewangan anak syarikatnya terbabit.

Menurutnya, rancangan untuk menjual saham BPlant kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) sebelum dibatalkan, perlu dijadikan pengajaran supaya tidak ‘terperangkap” dengan tawaran harga tidak menguntungkan.

Shahruddin Omar.

“Ini (beli saham Bplant) amalan baik untuk mengukuhkan ekonomi dan kewangan sebuah badan berkanun bawah LTAT, selain menahan aset daripada terjual kepada pihak luar,” katanya kepada FMT.

“Jadikan (cadangan pengambilalihan Bplant oleh KLK) sebagai pengajaran…kalau boleh pertahankan dan jangan sampai keluar.”

Semalam, LTAT mengumumkan langkahnya untuk membeli Bplant, selepas pengumuman perjanjian pengambilalihan BPlant oleh KLK tidak diteruskan, sehari sebelum itu.

LTAT kini memegang 10.59% kepentingan langsung dalam BPlant manakala anak syarikat milik penuhnya Boustead Holdings Bhd (BHB) memegang 57.42%, untuk gabungan 68% kepentingan dalam syarikat perladangan itu.

Pada 24 Ogos, KLK memeterai perjanjian kerjasama strategik (SCA) dengan LTAT dan BHB untuk memulakan bidaan pengambilalihan wajib untuk memperoleh saham BPlant pada RM1.55 sesaham, dengan nilai BPlant pada RM3.47 bilion.

Di bawah terma perjanjian itu, KLK akan memperoleh 739.2 juta saham atau 33% pegangan campur satu saham dalam BPlant, untuk bayaran tunai RM1.15 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.