Terlepas hukuman gantung, pasangan kekasih bunuh budak dipenjara 30 tahun

Terlepas hukuman gantung, pasangan kekasih bunuh budak dipenjara 30 tahun

Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati mandatori yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berikutan representasi.

Pada 24 Sept 2020, Mahkamah Tinggi mendapati T Gayathry dan R Saravanan Kumar bersalah atas kematian anak wanita itu, dan menjatuhkan hukuman mati.
PUTRAJAYA:
Seorang wanita dan kekasihnya masing-masing dijatuhi hukuman penjara 30 tahun atas kesalahan membunuh anak lelaki wanita itu yang mayatnya ditemukan di ladang kelapa sawit sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Vazeer Alam Mydin Meera menjatuhkan hukuman penjara ke atas T Gayathry, 39, dan R Saravanan Kumar, 33, bermula dari hari mereka ditangkap.

Vazeer, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy, turut memerintahkan Saravanan, seorang bekas pengawal keselamatan, disebat 12 kali.

Gayathry tidak dikenakan sebatan kerana undang-undang melarang hukuman sebat dijatuhkan ke atas wanita.

Pada awal prosiding, M Visvanathan yang mewakili Gayathry selaku peguam memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menerima representasi yang dibuat bagi pihak anak guamnya.

“Mereka (pendakwa) bersetuju hukuman mati yang dijatuhkan ditarik balik, dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara,” kata Visvanathan, yang dibantu oleh V Sanjay Nathan.

Timbalan Pendakwa Raya Fuad Aziz mengesahkan perkara itu.

N Selvarani, peguam mewakili Saravanan, kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mendapat arahan untuk menarik balik rayuannya terhadap sabitan dan hukuman.

Pasangan kekasih itu pada mulanya didakwa membunuh S Kaviarasan, 5, di sebuah rumah di Taman Keladi, Kulim, antara 20 dan 27 Sept 2014.

Pada 24 Sept 2020, Mahkamah Tinggi mendapati kedua-dua mereka bersalah dan menjatuhkan hukuman mati.

Berikutan pelulusan undang-undang oleh Parlimen yang berkuat kuasa bulan lepas, hakim kini mempunyai budi bicara untuk menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara antara 30 dan 40 tahun.

Pesalah lelaki juga akan menerima hukuman sekurang-kurangnya 12 sebatan rotan.

Mengikut fakta kes, Gayathry pada mulanya memfailkan laporan mendakwa Kaviarasan hilang dari kawasan Esplanade di George Town pada 20 Sept 2014.

Bagaimanapun, selepas disoal siasat polis, dia mengaku anaknya dipukul dan dalam keadaan panik, dia dan Saravanan membuang mayat itu di ladang kelapa sawit di Bukit Mertajam.

Semasa perbicaraan, Gayathry menuduh Saravanan memukul Kaviarasan dengan kaki kerusi, sehingga mati.

Laporan bedah siasat mendedahkan Kaviarasan meninggal dunia akibat kecederaan disebabkan objek tumpul di kepala.

Pesuruhjaya kehakiman (kini hakim) Ahmad Shahrir Salleh turut mendapati Saravanan menunggu di dalam kereta semasa Gayathry membuat laporan, tetapi tidak cuba memaklumkan polis tentang kesalahannya.

Berdasarkan pengakuan Gayathry, dia tidak menghalang Saravanan memukul Kaviarasan.

Saravanan dalam pembelaannya berkata, dia tidak bersama Gayathry ketika kejadian kerana bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan. Menurutnya, dia pergi ke Klang untuk melawat ibu bapanya pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, Shahrir menolak pembelaan Saravanan atas alasan dia gagal memberi notis tentang alibinya seperti yang dikehendaki bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.