
Exco Perumahan Pulau Pinang S Sundarajoo berkata kerajaan negeri turut menggesa agar rumah pangsa atau kediaman tidak terjual atau mempunyai permintaan rendah di Seberang Perai ditukar menjadi asrama pekerja asing.
Katanya, beberapa kilang sudah pun memperoleh blok-blok perumahan di Seberang Perai Selatan untuk dijadikan kuarters pekerja.
“Kami juga sedang melihat pembangunan kuarters pekerja berpusat (CLQ) dalam premis kilang,” katanya selepas merasmikan Simposium Perumahan Negeri-negeri yang julung kali diadakan di Tanjung Bungah hari ini.
“Dapatkah anda bayangkan jika kita perkara ini dilakukan semasa (wabak) Covid-19? Dalam jangka panjang, kita akan dapat mengawal isu sosial.”
Sundarajoo turut mengulangi pendirian Pulau Pinang untuk mengambil tindakan terhadap pihak menyewakan unit mampu milik atau kos rendah kepada pihak ketiga.
Beliau berkata, ini bertentangan dengan semangat menawarkan rumah sedemikian kepada golongan berpendapatan rendah, dan perjanjian jual beli unit tersebut sedang disemak semula untuk memastikan penguatkuasaan.
Beliau juga berkata, penasihat undang-undang negeri sedang meneliti dakwaan bahawa pemaju memaksa ciri tambahan terhadap pembeli kali pertama rumah mampu milik.
Pemaju sedemikian, katanya, akan disenarai hitam daripada menjalankan sebarang projek di Pulau Pinang pada masa akan datang.