
Responden yang lebih muda turut memetik keadaan semasa di negara ini sebagai faktor lain yang mendorong mereka membina kerjaya di luar negara.
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dalam kunjungan ke China bulan lepas menggesa pelajar Malaysia di sana pulang ke tanah air selepas tamat pengajian untuk membantu menerajui pembangunan negara.
Kenyataan beliau mencetuskan respons di media sosial dengan ada yang berkata, langkah berkenaan sia-sia jika gaji di negara ini masih rendah dan tiada peluang perkembangan dalam kerjaya tertentu.
Seorang ahli biologi molekul yang hanya mahu dikenali sebagai Naeva memberitahu FMT, beliau bekerja di Singapura sejak Oktober tahun lepas.
Di Malaysia, Naeva pernah bekerja di makmal semasa wabak Covid-19, dengan penyelidikannya tertumpu pada pengesanan kelaziman strain virus varian.
“Tetapi apabila Covid-19 tidak lagi dilihat sebagai keutamaan selepas Omicron, pembiayaan untuk makmal ditarik balik,” katanya sambil menambah, perkara ini memberikan kesan signifikan pada pendapatannya.
“Mungkin jika saya bekerja dalam bidang perniagaan atau kewangan, saya akan rasa berbeza,” katanya.
Seorang penganalisis perniagaan berusia 25 tahun yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, sebab utama beliau tinggal di London selepas tamat pengajian adalah keseimbangan antara hidup dengan kerja yang lebih baik.
“Sebab lain termasuk gaji yang lebih tinggi, tumpuan lebih baik pada kesaksamaan jantina dan kaum, serta lebih banyak peluang untuk pembangunan kerjaya,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan kembali ke Malaysia suatu hari nanti, beliau berkata, mungkin tidak. Katanya, perasaan seperti warga kelas kedua di negara sendiri melemahkan semangatnya.
“Hakikat bahawa saya tidak mempunyai peluang yang sama untuk memasuki universiti awam seperti kaum majoriti menimbulkan persoalan, sekalipun di tanah air sendiri.
“Apabila sesetengah undang-undang atau dasar digubal tidak memihak kepada anda, anda membesar dengan pengetahuan bahawa hak dan peluang anda terhad,” katanya.
Sementara itu, Naeva berkata, beliau “akan mempertimbangkan” pulang ke tanah air, tetapi menjadi sebahagian daripada komuniti LGBTQ menambah kerumitan baginya dan beliau perlu mempertimbangkan keselamatan dan kesejahteraan dirinya.
Jaspreet Singh, yang telah sembilan tahun bekerja sebagai pengurus kewangan di Qatar, berkata beliau pergi ke luar negara kerana mahukan “pengalaman luar negara”, tetapi merancang untuk akhirnya kembali ke Malaysia.
Beliau berharap, apabila pulang kelak, majikan akan melayannya setaraf dengan ekspatriat dari Eropah dan Amerika Syarikat.
Dakwanya, ekspatriat kulit putih hampir selalu mendapat gaji lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia yang pulang dengan pengalaman yang sama atau serupa.
“Kami ada pengalaman antarabangsa, tetapi tidak diberi ganjaran sepadan,” katanya sambil menambah, beberapa rakannya dilayan secara tidak adil.