
Mayat Pisie Amud, 25, ditemui penduduk kampung semalam dengan kesan cakaran haiwan itu pada bahagian kepala dan badan selain hilang kaki kiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Mohd Sani Nahtiman, berkata dia dimaklumkan mangsa tidak pulang selepas keluar pada Selasa lalu.
Katanya, dua penduduk kampung kemudiannya mencari mangsa di kawasan bukit di Kampung Perwer dan menemui motosikal mangsa serta peralatan menyumpit selain kesan tapak kaki harimau.
“Mereka pulang dan memaklumkan penemuan terbabit. Kira-kira 6 petang saya bersama 10 orang penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian.
“Bermula dari kesan tapak harimau terbabit saya bersama tiga penduduk menjejaki sejauh 500 meter dan menemui mayat mangsa dengan kesan cakaran pada bahagian kepada, badan dan sebelah kaki kirinya sudah hilang,” katanya menurut Berita Harian.
Menurut Sani, penduduk mula menjaga di lokasi penemuan mayat bermula 9 malam sehingga pihak berkuasa mengambilnya.
“Kira-kira jam 4 pagi tadi harimau belang itu datang kembali mungkin untuk mengambil mayat mangsa.
“Orang Asli yang berkumpul membuat bising dan memasang mercun untuk menghalaunya, namun ia masih kelihatan berkeliaran di kawasan terbabit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo yang dihubungi mengesahkan menerima maklumat kejadian terbabit.