
“Pastilah, yang terjadi di kawasan terbabit milik perhutanan… ada rezab jalan. Sudah pasti pemilik tanah terlibat,” kata Amirudin Shari ketika ditanya pemberita apakah laporan itu akan mendedahkan nama pemilik tanah kawasan terbabit.
Beliau juga memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga sudah memutuskan untuk menyahrahsiakan laporan lengkap itu dalam mesyuarat semalam.
“Kita boleh kembali kepada Nadma untuk Nadma letak di laman sesawang… agih kepada mereka memerlukan,” katanya, selepas menyaksikan majlis menandatangani kerjasama antara Daiso Malaysia Group dengan Kajima-Suncon di Setia Alam, petang tadi.
Seramai 31 orang kehilangan nyawa termasuk 13 kanak-kanak, dan 61 diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh yang menimpa tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, berdekatan Batang Kali pada 16 Dis.
Laporan awal tragedi itu dibentangkan di Jemaah Menteri pada 4 Jan lalu.
Amirudin berkata laporan itu sangat teknikal tetapi ia akan menjelaskan peristiwa itu. “Itu akan disiarkan di laman sesawang Nadma untuk perhatian semua pihak.”
“Semua pihak boleh ambil tindakan selanjutnya,” tambahnya.
Pada Disember tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilapor berkata tiga tapak perkhemahan yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh itu dikenal pasti beroperasi secara haram, dan hanya memiliki kebenaran merancang untuk aktiviti pertanian organik.