Bekas askar tanam padi dalam pasu tampung kegunaan harian

Bekas askar tanam padi dalam pasu tampung kegunaan harian

Empat biji benih ditanam dalam setiap lima pasu boleh hasilkan hampir sekilogram beras, kata Eddrus Iskandar Abdul Hamid.

Bekas tentera laut, Eddrus Iskandar Abdul Hamid, mendapat banyak permintaan di media sosial supaya memuat naik video cara penanaman padi dalam pasu sejak isu bekalan beras timbul. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menanam padi secara kecil-kecilan dalam pasu atau di kawasan rumah antara inisiatif boleh dilakukan dalam menghasilkan beras tempatan bagi menampung kegunaan harian.

Itu antara usaha dilakukan bekas anggota tentera laut, Eddrus Iskandar Abdul Hamid, 36, yang mula berkecimpung dalam penanaman padi di rumahnya di Kuala Kangsar, Perak, pada hujung tahun lalu selepas melihat ibu saudaranya berjaya menghasilkan tanaman padi dalam pasu.

Beliau berkata, semasa kali pertama mencuba menanam padi sendiri, beliau menggunakan lima pasu terpakai dengan empat biji benih ditanam di dalam setiap pasu dan berjaya menghasilkan hampir 1kg beras.

“Kali kedua saya tanam, saya gunakan lapan pasu dengan pecahan lima biji benih setiap pasu dan hasil berasnya lebih sekilogram. Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga lebih tiga orang, saya cadangkan untuk cuba tanam dalam 15 hingga 20 pasu, kemungkinan hasil padi akan mencecah 10 hingga 12kg,” katanya kepada Bernama.

Menurut Eddrus, kebiasaannya padi mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk matang dan sesuai diproses menjadi beras, bergantung kepada cara penjagaan, taburan baja serta cuaca.

Katanya, hasil padi yang sudah cukup matang akan dituai sebelum dibanting dengan lesung kayu untuk mengasingkan padi daripada tangkainya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya melalui platform media sosial pelbagai teknik dan petua berkaitan penanaman padi kecil-kecilan di kawasan rumah.

“Sejak timbul isu beras, memang ramai di Facebook minta saya untuk muat naik video cara penanaman padi di dalam pasu. Sebelum ini, saya ada berkongsi tentang teknik asas penanaman padi menerusi video YouTube Kuala Kangsar TV.

“Objektif saya berkongsi tentang teknik penanaman padi dalam pasu adalah untuk membuka minda dan minat masyarakat agar terlibat dalam aktiviti penanaman padi yang boleh menjadi ilmu dan keperluan pada masa akan datang.

“Jika ramai menanam padi, bukan sahaja boleh digunakan untuk menampung keperluan sendiri, malah juga boleh menjadi sumber pendapatan dengan menjual lebihan hasil padi itu kepada pihak lain dan secara langsung dapat menyelesaikan isu kekurangan beras tempatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin, berkata orang ramai digalakkan menggunakan teknologi moden yang ada untuk melibatkan diri dalam penanaman padi secara kecil-kecilan.

“Teknologi kini membolehkan perumahan bertingkat untuk bercucuk tanam di ruang yang terhad. Jadi, lebih ramai rakyat boleh cuba menanam padi untuk mengurangkan beban kos sara hidup keluarga sendiri,” katanya.

Nur Asyikin turut menyifatkan inisiatif ini sebagai usaha yang efektif untuk memberi tekanan kepada peniaga supaya menjual beras dengan harga lebih mampu milik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.