
Selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dia mendapat tawaran ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, namun terpaksa ditolak kerana kedudukan kewangan keluarga yang tidak mengizinkan.
Sungguhpun begitu semangat untuk mengubah masa depan menerusi pendidikan tidak pernah luntur, lantas anak muda itu melakukan pelbagai kerja seperti membantu bapanya di ladang sawit dan menjadi anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Selepas dua tahun bekerja, saya dapat mengumpulkan wang cukup dan membuat permohonan baharu menggunakan keputusan STPM saya yang lepas.
“Akhirnya saya dapat tawaran di UMS (Universiti Malaysia Sabah) dengan jurusan yang saya minati iaitu geografi,” kata anak sulung tiga beradik itu dalam kenyataan media dikongsi UMS.
Kimson menzahirkan rasa syukur kerana kali ini dirinya mempunyai kewangan yang mencukupi hasil pekerjaannya yang membolehkan beliau membayar yuran pendaftaran bagi semester pertama pengajian.
“Selain itu, ahli keluarga yang lain juga ada membantu dalam kewangan sepanjang proses kemasukan ke UMS.
“Saya juga akan membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menambah keperluan kewangan pada semester seterusnya,” kata remaja berusia 22 tahun yang bercita-cita menjadi guru itu.