Subsidi untuk rakyat dijangka cecah RM81 bilion tahun ini, kata PM

Subsidi untuk rakyat dijangka cecah RM81 bilion tahun ini, kata PM

Anwar Ibrahim berkata walaupun angka itu tinggi mengurangkan jumlah subsidi bukan satu pilihan kepada kerajaan bagi memastikan rakyat tak terbeban.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata rasionalisasi subsidi yang sedang dilaksanakan kerajaan kini adalah penting dalam memastikan rakyat dapat dibantu dan ekonomi negara sentiasa kekal ampuh. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Subsidi dikeluarkan kerajaan untuk rakyat termasuk elektrik, minyak dan makanan dijangka mencecah RM81 billion tahun ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun angka itu dilihat tinggi, mengurangkan jumlah subsidi itu tanpa melihat kepada keperluan rakyat bukan satu pilihan kepada kerajaan bagi memastikan rakyat tidak terbeban terutama dengan kos sara hidup masa kini.

Justeru, katanya rasionalisasi subsidi yang sedang dilaksanakan kerajaan kini adalah penting dalam memastikan rakyat dapat dibantu dan ekonomi negara sentiasa kekal ampuh.

“Subsidi ini campur tangan kerajaan untuk kurangkan beban rakyat. Subsidi untuk ayam dan telur pula RM3.8 billion, tetapi kurangkan subsidi bukan pilihan kerana ia membebankan rakyat jadi perlu dasar lebih ampuh kurangkan (subsidi) iaitu rasionalisasi subsidi.

“Dengan jumlah subsidi (tinggi) tidak ada negara mampu bertahan, akan ada yang kurangkan,” katanya berucap merasmikan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Anwar berkata menerusi langkah rasionalisasi itu subsidi elektrik untuk 1% kumpulan rakyat terkaya dibatalkan, namun ia tidak akan membebankan kerana 99% rakyat tidak akan terkesan.

Perdana menteri berkata baru-baru ini beliau juga meminta Lembaga Tabung Haji (TH) supaya mengkaji semua subsidi bagi kos mengerjakan haji untuk golongan kaya yang mana kos subsidi golongan itu akan dapat dimanfaatkan semula kepada golongan yang lebih memerlukan.

“Rasionalisasi ini saya minta kepada masyarakat Muslim, paling kaya tidak diberikan subsidi bagi bantu jemaah lain ia diterima baik. Ada 400 orang jemaah yang layak subsidi (haji) menolak subsidi supaya tidak bebankan orang lain bayar kos haji,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.