
Awang Pawi Awang Azman dari Universiti Malaya menyifatkan sia-sia untuk mana-mana parti bertanding di Jepak, memandangkan itu kubu kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).
PBB adalah parti dominan dalam kerajaan Gabungan Parti Sarawak yang juga antara rakan PH dalam kerajaan perpaduan.
“Jika PKR bertanding, ini boleh memalukan parti kerana akan hilang deposit dan menjejaskan hubungannya dengan GPS,” katanya kepada FMT.
Kerusi Jepak kosong susulan kematian Adun Talib Zulpilip pada 15 September lalu. Talib yang memegang kerusi itu sejak 1996 dilantik semula pada 2021 dengan majoriti 4,243 undi.
Khamis lalu, DAP Sarawak menggesa PKR mempertimbangkan semula keputusannya untuk tidak bertanding di Jepak, selepas Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata parti itu tidak akan meletakkan calon demi kestabilan kerajaan perpaduan.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, tiada jaminan bahawa keputusan PKR itu akan memperbaiki hubungan PH dengan GPS.
“GPS selalu berikrar bersama-sama mana-mana pihak yang mampu membentuk kerajaan persekutuan. Tiada keutamaan untuk PH dari sudut pandangan GPS,” katanya.
Katanya, lebih baik PH tidak bertanding memandangkan gabungan negeri itu berkemungkinan besar akan meraih kemenangan.