Hakim nasihat Guan Eng, Muhyiddin selesai saman fitnah secara mediasi

Hakim nasihat Guan Eng, Muhyiddin selesai saman fitnah secara mediasi

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain juga mengarahkan pihak terlibat 'menjajarkan' isu berkaitan jika ada keperluan bicara.

Lim Guan Eng mendakwa kenyataan Muhyiddin Yassin bermaksud menuduhnya menyalahgunakan kuasa sebagai menteri kewangan ketika itu, selain menggambarkan dirinya rasis, anti-Melayu, dan anti-Islam.
KUALA LUMPUR:
Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar saman fitnah difailkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, menasihatkan pihak terlibat melakukan proses mediasi bagi penyelesaian.

Peguam Lim, Guok Ngek Seong, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain membuat cadangan itu dalam pengurusan kes hari ini.

“Hakim melontarkan idea mediasi dengan tujuan untuk menyelesaikan kes,” katanya.

Beliau berkata, pihak terlibat akan memaklumkan kepada mahkamah sama ada mereka bersetuju dengan penyelesaian sebelum pengurusan kes seterusnya, pada 7 Dis.

Guok berkata, Roz Mawar juga mengarahkan pihak berkenaan menjajarkan isu sekiranya ada keperluan untuk bicara.

“Ketika ini, terdapat banyak isu tersenarai daripada tiga pernyataan,” katanya.

Peguam Chetan Jethwani mewakili Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu.

Lim memfailkan saman pada 27 Mac, menuntut permohonan maaf dan penarikan balik tiga kenyataan didakwa fitnah dibuat Muhyiddin di Facebook dan surat khabar perdana termasuk portal.

Dalam kenyataan pada 9 Mac, Muhyiddin mendakwa Lim, yang juga bekas menteri kewangan antara 2018 hingga 2020, terlibat dalam pembatalan status pengecualian cukai kerajaan terdahulu yang diberikan pertubuhan kebajikan Muslim, Yayasan Albukhary.

Lim mendakwa kenyataan pertama diterbitkan pada 9 Mac, selepas Muhyiddin bebas daripada tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, kenyataan kedua, dibuat dalam kenyataan media pada 11 Mac, yang didakwa Lim mengenakan cukai ke atas yayasan tersebut dan 45% penalti terhadap bayaran cukai untuk tahun-tahun sebelumnya.

Lim juga mendakwa Muhyiddin dalam wawancara media, selepas menggulung ucapan dalam Perhimpunan Agung Bersatu pada 12 Mac, menyatakan memandangkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bawah kawal selia Lim ketika itu, apa jua arahan pembatalan pengecualian cukai yayasan berkenaan datangnya daripada Lim.

Lim berkata, kenyataan fitnah itu antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan.

Beliau berkata, ia juga bermaksud beliau bersifat perkauman, anti-Melayu, dan anti-Islam dengan sengaja menyasarkan Yayasan Al-Bukhary dan dirinya serta sengaja mensabotaj yayasan berkenaan.

Muhyiddin bagaimanapun nafi memfitnah Lim dan bergantung pada pembelaan justifikasi, komen yang adil, dan keistimewaan bersyarat untuk mengalahkan saman fitnah Lim.

Muhyiddin mengakui merujuk kenyataannya terhadap Lim, namun berkata ia adalah atas kapasiti Lim sebagai menteri kewangan ketika itu dan orang yang akhirnya bertanggungjawab ke atas LHDN, dan bukan atas kapasiti peribadinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.