13 pendatang menyusup Tawau ditahan

13 pendatang menyusup Tawau ditahan

Pendatang tanpa izin terdiri lelaki berusia 18 hingga 61 tahun ditahan selepas APMM mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulau Sebatik ke Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau Shahrizan Raman berkata semua mereka tidak memiliki pengenalan diri sah dan masuk ke negara ini secara haram. (Gambar Bernama)
TAWAU:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan 13 pendatang tanpa izin dipercayai warga Indonesia menyusup masuk ke negara ini apabila semua mereka ditahan di perairan Tawau kira-kira 1.2 batu nautika barat dari jeti pelabuhan, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Shahrizan Raman, berkata pendatang tanpa izin terdiri lelaki berusia antara 18 hingga 61 tahun itu ditahan pada 10.30 pagi selepas pihaknya mengesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulau Sebatik ke Tawau.

“Pasukan APMM yang menjalankan tugas operasi mengejar bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan. Bagaimanapun, juragan bot bertindak terjun laut meninggalkan penumpang bot untuk melarikan diri.

“Tindakan pantas anggota bertugas berjaya menangkap juragan berkenaan selain menahan 12 penumpang, dan didapati semua mereka tidak memiliki pengenalan diri sah dan masuk ke negara ini secara haram. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 ,” katanya dalam kenyataan.

Shahrizan berkata, pihaknya giat memperhebat rondaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan manusia dan komuniti maritim yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan salah laku jenayah diharap dapat menyalurkan aduan dengan menghubungi talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089 752116 atau talian MERS 999.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.