Tular pukul tepi jalan, polis tahan 3 suspek

Tular pukul tepi jalan, polis tahan 3 suspek

Semakan polis mendapati semua suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

Tular di media sosial kejadian tiga lelaki memukul mangsa di Jalan Langat-Klang, Ahad lalu.
PETALING JAYA:
Tiga suspek ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian pukul di tepi jalan dekat persimpangan lampu isyarat, Jalan Langat-Klang, Ahad lalu.

Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata warga tempatan berusia antara 20 hingga 29 tahun itu ditahan oleh pasukan D7 daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan bermula 6.30 petang semalam.

“Polis menahan tiga suspek warga tempatan yang bekerja sebagai penarik kereta. Semakan terhadap semua suspek mendapati, mereka mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek mendapati, suspek utama yang berumur 39 tahun positif methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Berita Harian.

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Klang Selatan turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, permohonan tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dimohon di Mahkamah Majistret Klang, hari ini.

Semalam, beliau berkata polis menerima laporan dari mangsa, seorang warga tempatan berusia 21 tahun mendakwa ditahan oleh sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki.

Katanya, mangsa melaporkan seorang daripada lelaki berkenaan bertindak memukul dan merosakkan motosikal miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.