Perbincangan harmoni, Howard setuju berhati-hati petik ayat al-Quran

Perbincangan harmoni, Howard setuju berhati-hati petik ayat al-Quran

Mohd Na'im Mokhtar menasihatkan Howard Lee supaya berhati-hati dalam memetik ayat al-Quran untuk tidak menimbulkan salah faham.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar bertemu dengan Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee di Kuala Kangsar malam tadi.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee berkata pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar malam tadi berjalan harmoni, dengan wakil rakyat DAP itu bersetuju supaya lebih berhati-hati dalam memetik ayat al-Quran.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu berkata “perbincangan sangat panjang” berkenaan mencapai kata sepakat berhubung keperluan negara melangkah ke depan dalam usaha mengeratkan silaturahim pelbagai agama dan kaum di negara ini.

“Satu perbincangan yang sangat membina untuk menegakkan keilmuan dan kebenaran,” katanya kepada FMT.

“Ia bukan hanya bersandarkan untuk menegur sahaja.”

Terdahulu, Na’im dalam catatan di Facebook berkata Howard bersetuju dengan nasihatnya supaya beliau lebih berhati-hati dalam mengambil petikan ayat al-Quran agar tidak menimbulkan salah faham.

Pada 26 Sept lalu, Lee mohon maaf di atas tindakannya memetik tafsiran al-Quran, selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan polis ke atasnya.

Lee disiasat susulan dua laporan polis ke atasnya yang didakwa menghina Islam dengan membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran, sekali gus menyentuh isu 3R, iaitu agama, raja dan kaum.

Bagaimanapun, Lee menegaskan beliau tidak membuat tafsiran sendiri dan isu berkenaan tidak timbul.

“Bukan tempat saya untuk tafsir atau tidak. Tafsiran itu sebenarnya tuduhan liar pihak tertentu,” katanya yang tidak menerima sebarang perkembangan terkini selepas memberi keterangan pada Khamis lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.