Cikgu paling ramai jadi mangsa ‘scammer’ di Johor

Cikgu paling ramai jadi mangsa ‘scammer’ di Johor

Polis Johor berkata dalam kalangan penjawat awam guru menjadi profesion paling tinggi jadi mangsa.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata kerugian melibatkan penipuan terhadap guru berjumlah lebih RM4 juta bermula Januari hingga September lalu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Guru adalah golongan paling ramai dalam kalangan penjawat awam menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian atau “scammer” di Johor sejak Januari tahun ini hingga bulan lalu, melibatkan kerugian RM4.24 juta.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata faktor itu dipercayai berikutan terdapat banyak komuniti guru di negeri ini iaitu kira-kira 50,000 orang.

Katanya, sebanyak 388 laporan berkaitan penipuan dalam talian diterima di Johor dalam tempoh tersebut melibatkan penjawat awam dengan 117 kes membabitkan guru.

“Scammer tidak memilih mangsa tetapi mungkin kerana ramai komuniti guru di sini. Menerusi ‘town hall’ yang kita lakukan ini, kita didik, beri penerangan supaya dapat mengelakkan mereka (terus) menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Town Hall “Ancaman Scammer Masa Kini” melibatkan 250 guru di Wisma Bank Simpanan Nasional Johor.

Bagaimanapun, beliau berkata secara keseluruhan nilai kerugian bagi penipuan dalam talian membabitkan penjawat awam menunjukkan trend penurunan mendadak kepada RM10.02 juta, berbanding RM109.07 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Kamarul berkata, antara jenis sindiket penipuan dalam talian yang kini bergerak aktif adalah Macau scam, scam cinta, pekerjaan, bungkusan, dan juga pinjaman dalam talian.

Justeru katanya, pemahaman mengenai bentuk penipuan dalam talian perlu ditingkatkan menerusi pendidikan awam formal yang menyentuh ancaman scammer, termasuk kempen menerusi sekolah, kolej, dan tempat kerja.

Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak mendedahkan akaun bank kepada pihak atau individu yang tidak dikenali bagi mengelakkan diri menjadi mangsa keldai akaun.

“Elemen yang penting adalah akaun. Akaun ini apabila kita dedahkan kepada orang kita akan ditipu atau pun akaun diberikan kepada orang, kita akan jadi mangsa sebagai ‘akaun mule’ atau akaun keldai.

“Ia boleh diambil tindakan ditangkap walaupun mangsa tidak melakukan apa-apa kesalahan dan hanya memberikan akaun dia kepada sindiket. Dengan sedikit bayaran pun, menjadi satu kesalahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.